Orang ramai mula membanjiri Karnival Anak Muda Melaka yang berlangsung di MITC bermula Jumaat hingga 6 September.

MELAKA – Beberapa acara berskala besar di Melaka menjadikan negeri ini dianggap sebagai lubuk rezeki bagi peniaga luar.

Dengan status Melaka sebagai negeri pelancongan yang sering dikunjungi pelancong, menyebabkan peniaga luar dari negeri itu mengambil peluang untuk meraih keuntungan daripada perniagaan makanan.

Ia terbukti apabila ramai peniaga tidak menafikan perniagaan makanan mereka laris setiap kali sesuatu acara besar diadakan.

Tinjauan Malaysia Gazette di tapak Festival Makanan yang diadakan. sempena Karnival Anak Muda Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini mendapati kebanyakan gerai makanan dimiliki pengusaha dari luar Melaka.

Muhammad Syafiq Mohd Yatim

Seorang peniaga daging bakar, Muhammad Syafiq Mohd Yatim, 28, yang berasal dari Shah Alam, Selangor berkata, dia sentiasa memantau program dan acara yang diadakan di Melaka.

Ini kerana katanya, jualannya pasti mendapat sambutan ekoran kehadiran pengunjung yang luar biasa.

“Misalnya dalam program Karnival Anak Muda ini pasti akan ada ramai pengunjung dan ia memberi kesan positif kepada jualan daging bakar saya,” katanya yang telah beberapa kali datang ke Melaka untuk berniaga.

Begitu juga dengan seorang peniaga dari Johor Bahru, Zulkarnain Mazlan, 43, yang tidak akan melepaskan peluang untuk membuka gerai di tapak-tapak festival makanan di mana-mana lokasi di Melaka.

Zulkarnain Mazlan

Setakat ini jelasnya, makanan takoyaki yang diusahakannya di tapak festival di Melaka amat tidak mengecewakan.

“Diikutkan memang sudah banyak kali saya datang ke Melaka sampai tak terkira untuk membuka gerai dan sambutan memang amat menggalakkan.

“Sekarang pulak cuti sekolah sudah pasti akan ramai pengunjung ke festival ini,” ujarnya.

Seorang peniaga dari Alor Star, Kedah, Nur Nadia Aqila, 22, berkata, meskipun datang dari jauh di utara Semenanjung, dia pasti perniagaannya akan memberi hasil yang berbaloi apabila membuka gerai di tapak Festival Makanan di MITC.

Nur Nadia Aqila Nasrun

“Walaupun saya dari Kedah tetapi saya pasti akan mendapat sambutan hebat daripada pengunjung sepanjang karnival ini nanti,” katanya yang menjual daging dan lemak kambing bakar.

Bagi peniaga makanan dari Kuala Lumpur, Muhammad Iskandar Jusoh, 33, dia memang tidak akan melepaskan peluang untuk membuka gerai di tapak festival yang sering diadakan di Melaka.

“Melaka sememangnya sering dikunjungi pelancong luar untuk melihat pelbagai kesan sejarah.

Muhammad Iskandar Jusoh

“Jadi apabila ada festival seperti ini saya tidak melepaskan peluang untuk membuka gerai dan hasilnya memang berbaloi,” ujarnya yang telah banyak kali membuka gerai di pelbagai acara di Melaka sejak beberapa tahun lalu.

Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di MITC bermula 4 hingga 6 September ini menyasarkan kehadiran 50,000 belia dan masyarakat dari dalam serta luar Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here