Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong cadangan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi meletakkan operasi pelaburan agensi itu di bawah pengawasan Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, langkah yang diambil pengurusan baharu TH diterajui Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Hussain itu adalah wajar bagi memastikan institusi berkenaan dikawal selia dengan lebih ketat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan itu juga mampu mengelakkan berlakunya salah guna kuasa atau elemen negatif lain dalam pengurusan agensi berkenaan pada masa hadapan.

“Ini bagi saya sesuai dan saya dengar taklimat mereka dan menyokong langkah-langkah, termasuk beberapa cadangan pindaan (terhadap) daripada Akta Tabung Haji 1995.

“Hal ini supaya pengurusan itu dikawal lebih ketat oleh sama ada SC atau BNM dan tidak terlepas sebagaimana yang berlaku sebelum ini,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang Jaya hari ini.

Semalam, Abdul Rashid memaklumkan TH kini dalam proses memperhalusi rangka kerja kawal selia baharu bagi meletakkan operasi pelaburannya di bawah pengawasan berkanun SC.

Beliau berkata keputusan berkenaan dicapai selepas pertimbangan terperinci selama hampir enam bulan oleh sebuah jawatankuasa pasukan petugas bersama.

Pasukan petugas berkenaan turut dianggotai oleh Pengerusi SC dan Gabenor BNM bagi memastikan pengurusan pelaburan TH selaras dengan piawaian kawal selia pasaran modal negara. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here