KOTA TINGGI- Pemasangan bendera merah dan papan tanda larangan mandi di kawasan pantai yang berisiko dan berbahaya perlu dilakukan bagi mengelak tragedi empat remaja lemas berulang.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menyarankan pihak Majlis Perbandaran Pengerang berbuat demikian termasuk di Pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini yang mengorbankan empat remaja kelmarin.
Jelasnya, pengunjung dari luar mungkin tidak mengetahui keadaan bentuk muka bumi dan juga tidak menyedari bahaya arus di pantai berkenaan sekali gus menganggapnya selamat untuk sebarang aktiviti seperti mandi-manda.
“Mungkin pengunjung luar pun kadang-kadang tak tahu dan kalau kita tengok khemah-khemah, tapak perkhemahan, dia tak ada langsung katakan ‘jangan berenang’ kan?
“Disebabkan itu saya nak minta tolong kalau boleh kepada MPP tolonglah walaupun bukan dalam bidang kuasa jajahan tapi letak papan tanda amaran dan letak bendera merah,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta bertemu ahli keluarga mangsa di pos kawalan di Pantai Tanjung Lompat, hari ini.
Azalina turut menasihati pengunjung untuk tidak melakukan aktiviti dalam air ketika ini sehingga hujung tahun berikutan angin kencang, ombak kuat dan arus deras.

Katanya, pantai di sepanjang kawasan Desaru merupakan laut laluan perdagangan dan mempunyai keadaan arus yang berbeza berbanding pantai di terengganu, mersing atau tioman.
“Saya tengok kawasan Parlimen Pengerang ini pantai dia ni kadang-kadang kita ingat laut tu semua sama. Ni bukan laut macam di Terengganu, Mersing. Ini laut perjalanan perdagangan.
“Arus dia memang kuat dan kalau kita tengok angin ini memang cukup kuat. Tu yang kita minta kalau siapa yang nak pergi berkelah pun, buat aktiviti berkelah sahaja tak perlu mandi,” katanya.
Terdahulu portal ini melaporkan, enam remaja berusia 16 tahun dikhuatiri lemas di pantai berkenaan namun dua daripadanya berjaya diselamatkan orang awam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan sejurus kejadian berjaya menemui mangsa pertama, Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, pukul 1.15 petang pada jarak 500 meter dari lokasi kejadian.
Laungan azan di tengah laut daripada guru dan tujuh pelajar tahfiz pula membawa kepada penemuan jasad kedua, Muhamad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, yang dijumpai terapung pukul 1.53 petang semalam oleh nelayan kira-kira 800 meter, dari lokasi mangsa pertama dijumpai.
Sementara operasi SAR yang memasuki hari ketiga hari ini berjaya menemui seorang lagi, mayat Muhammad Adib Hafiy Kamal pukul 11.15 pagi kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.- MalaysiaGazette
















