Antara kek air tangan terakhir Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, pemilik Secangkir Cafe yang maut bersama suami dan anaknya dalam tragedi menyayat hati di LPT 31 Ogos lepas

KUANTAN – Tak sampai 30 minit kedai dibuka, 100 angka giliran untuk membeli sepotong kek air tangan terakhir almarhumah Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32 di Secangkir Cafe, Sungai Karang, di sini habis diagihkan kepada pelanggan.

Ketika tinjauan MalaysiaGazette, pengunjung mula memenuhi tempat duduk dalam tiga buah khemah yang didirikan di hadapan kafe itu seawal dua jam sebelum dibuka iaitu pada jam 3 petang.

Suzana Basiran, 58 bersama anaknya, Siti Aisyah, 20 yang merupakan pelanggan pertama memberitahu, mereka berada di kafe itu sejak jam 1 petang selepas tiba di Kuantan untuk bercuti.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/09/01/4-maut-dalam-nahas-11-kenderaan-di-lpt/

“Kami kebetulan sampai kira-kira jam 12 tengah hari tadi daripada Segamat, Johor dan tinggal di inap desa berhampiran sehingga Ahad ni.

“Apabila terbaca mengenai kisah pemilik Secangkir Cafe ni yang terkorban bersama keluarga dalam kemalangan di LPT hari tu, terus buat keputusan untuk datang sini.

“Sementara suami pergi solat jumaat, saya dan anak-anak tunggu sahaja di sini sehingga cafe dibuka,” katanya.

Suzana Basiran (kanan) dan anaknya Siti Aisyah

Sebagai rekod, almarhumah Nur Atiqah Sofiya (Sofiya) yang merupakan pemilik Secangkir Cafe maut bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4 dalam tragedi menyayat hati di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Temerloh 31 Ogos lepas.

Tiga beranak berkenaan menaiki Proton S70 ketika kejadian, manakala seorang lagi lelaki yang menaiki Honda CRV turut terkorban dalam nahas tersebut.

Kemalangan berantai itu membabitkan 11 kenderaan termasuk bas ekspres, lori tangki simen, trak pikap, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) selain beberapa buah kereta.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Syairah Aqilah Zakaria, 27 pula tidak dapat menahan sebak mengenangkan perbualan terakhir dengan almarhumah Sofiya kira-kira dua minggu lepas.

“Dia (Sofiya) pernah jadi jurufoto majlis perkahwinan saya dan suami pada tahun 2024.

“Kami suami isteri pernah pergi ke gerai jualan kek dia (Sofiya) apabila dia berniaga dalam event Pasar Sera tu.  Sejak itu, kami sentiasa ada berhubung melalui whatsapp bertanya khabar.

“Kali terakhir whatsapp dia dua minggu lepas. Saya mengandung, jadi saya teringin nak makan kek Butter Lemon dia, jadi dia ajak datang ke kafe ni. Sepatutnya minggu ni lah. Tapi tak sempat,” ceritanya sebak.

Syairah Aqilah Zakaria ditenangkan suaminya, Mohamad Hidayatullah Mohamed kerana sebak ketika bercerita mengenai almarhumah Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan

Menurut adik bongsu kepada almarhumah Sofiya, Muhammad Hazim Rais Mohd Kazwan, 26, keputusan untuk menutup sepenuhnya operasi kafe yang baru beroperasi kira-kira dua tahun lepas itu dibuat hasil persetujuan sebulat suara adik beradik dan kedua-dua ahli keluarga.

Katanya, tiada siapa dalam kalangan ahli keluarga yang mampu membawa identiti Secangkir seperti almarhumah Sofiya yang dipanggil ‘Angah’.

“Tapi memang tak jangka begitu ramai yang datang hari ini. Rupanya dia (Sofiya) ada ramai pelanggan tetap dan yang sentiasa mencari kek buatannya.

“Kami sekeluarga terharu dan sebak juga kerana terfikir kalau arwah tengok suasana hari ini, dia mesti gembira. Tapi legasi Secangkir ini memang terhenti di sini sebab agak berat bagi kami sekeluarga,” katanya.

Muhammad Hazim Rais Mohd Kazwan

MalaysiaGazette dimaklumkan setiap potongan kek tersebut dijual sekitar harga RM9 hingga RM12, manakala kek Victoria Sandwich dan London Choc pula merupakan antara yang paling mendapat permintaan di kafe tersebut.

Selain kek, ahli keluarga almarhumah Sofiya hari ini turut membuat keputusan mengadakan jualan penghabisan stok makanan, minuman, kelengkapan membuat kek yang masih ada manakala peralatan lain seperti meja, kerusi, ketuhar, mesin kopi dan kelengkapan lain akan ditinggalkan untuk penyewa baharu.

Difahamkan, pihak keluarga itu juga menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang berminat mengambil alih premis itu, namun dimaklumkan bahawa keputusan mengenai penyewa baharu terletak pada pemilik premis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here