JDT menundukkan DPMM FC dengan jaringan 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.- Foto ihsan Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara bertahan terus menunjukkan taring apabila menundukkan DPMM FC dengan jaringan 3-0 pada aksi Liga Super di sini malam ini.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan itu berjaya meneruskan mengekalkan kemenangan 100 peratus dengan mengutip 12 mata daripada empat perlawanan.

Namun kejayaan skuad kendalian Xisco Munoz itu tidak mudah pada peringkat awal kerana bergelut untuk menembusi gawang pasukan pelawat terbabit di Stadium Sultan Ibrahim.

Dapat dilihat JDT berdepan tugas sukar merobek kubu lawan setelah DPMM FC cukup berdisiplin ketika bertahan memastikan gawang tidak dibolosi.

JDT akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-36, berpunca daripada percubaan Arif Aiman Hanafi yang dinafikan penjaga gol Samuel Somerville namun Bergson Da Silva berada di posisi tepat menerima bola sebelum merembat masuk ke dalam gawang DPMM.

Pengadil perlawanan, S Logeswaran membenarkan jaringan itu dikira setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Arif Aiman tidak berada di posisi ofsaid ketika menerima hantaran jauh Jonathan Silva.

Empat minit berselang, JDT menambah jaringan sekali lagi menerusi larian lincah Arif Aiman dari sayap kanan sebelum membuat ‘cutback’ kepada Bergson untuk melepaskan tendangan kencang dari jarak dekat pada minit ke-40.

Hasrat pemain naturalisasi kelahiran Brazil itu untuk mencetak hatrik kecundang setelah jaringannya dibatalkan Logeswaran setelah semakan VAR mendapati Jonathan terlebih dahulu berada di kedudukan ofsaid sebelum membuat umpanan kepada Bergson pada minit ke-45.

Ketiadaan pengendali, Jamie McAllister tidak mematah semangat DPMM yang kekal berdisiplin ketika bertahan bahkan turut mengintai peluang untuk menjaringkan gol pertama perlawanan.

Shahab Zahedi yang cemerlang meledak empat gol ketika menentang Kelantan Red Warrior, sebelum ini tampak serba tidak menjadi setelah kurang mendapat umpanan cantik daripada rakan sepasukan.

Peluang terbaik penyerang Iran itu hadir pada minit ke-73 namun rembatan lencong dari luar kotak penalti ditepis keluar oleh Somerville.

Strategi Munoz membawa masuk Stoichkov pada pertengahan babak kedua membuahkan hasil apabila pemain tengah itu menjaringkan gol ketiga perlawanan menerusi rembatan lerek ke tiang kiri pintu gol menewaskan Somerville pada minit ke-73.

lDPMM berpeluang merapatkan jurang gol setelah Nurikhwan Othman berjaya merampas bola daripada pertahanan lawan dan membuat umpanan kepada Miguel Oliveira namun rembatan pemain Portugal itu sedikit tersasar dari pintu gol JDT.

Pasukan pelawat berterusan melancarkan serangan ke kubu Harimau Selatan namun Ahmad Syihan bertindak cemerlang memastikan JDT mengekalkan rekod tanpa bola bolos dalam saingan Liga Super.

Hasrat Bergson untuk mencatatkan hatrik dalam dua perlawanan berturut-turut tidak kesampaian setelah hantaran Corbin Ong pada masa kecederaan gagal disudahkan penyerang naturalisasi itu.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here