Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Biro Guaman dan Aduan Awam Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK Malaysia) menyambut baik keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menghentikan pemakaian baju oren terhadap suspek yang dibawa ke mahkamah bagi tujuan reman.

Ketuanya, Khairul Naim Rafidi berkata, keputusan ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh prinsip kedaulatan undang-undang serta menegakkan asas keadilan bahawa setiap individu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Lagipun, tambahnya, proses reman semata-mata bertujuan membantu siasatan dan tidak boleh ditafsirkan sebagai penentuan kesalahan.

Beliau juga akui pemakaian pakaian lokap ketika hadir di mahkamah berpotensi mewujudkan persepsi awam bahawa seseorang suspek telah bersalah, sekali gus menjejaskan maruah, reputasi dan haknya sebelum sebarang pertuduhan difailkan atau diputuskan oleh mahkamah.

Lantaran itu, katanya, prinsip ini hendaklah terpakai secara sama rata kepada semua individu, tanpa mengira latar belakang, kedudukan atau jenis kes yang sedang disiasat.

“Sehubungan itu, kami menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua agensi penguatkuasaan lain supaya melaksanakan pendekatan yang sama secara konsisten.

“Pakaian lokap hendaklah digunakan ketika suspek berada di dalam lokap sahaja, manakala penggunaan gari perlu dibuat berdasarkan keperluan keselamatan, penilaian risiko dan keadaan kes, bukan sebagai amalan rutin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Naim menambah, kerajaan juga wajar mewujudkan satu garis panduan nasional yang seragam bagi memastikan semua suspek yang belum didakwa dilayan secara adil, bermaruah dan profesional oleh setiap agensi penguatkuasaan.

Garis panduan ini perlu dilaksanakan secara telus dan konsisten supaya tiada individu menerima layanan berbeza hanya berdasarkan status, pengaruh atau perhatian awam terhadap sesuatu kes.

Jelasnya, reformasi ini tidak akan melemahkan penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya, ia akan memperkukuh integriti institusi, meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan serta memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan keadilan sejagat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here