Gambar ihsan JAWI

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjelaskan, aktiviti yoga melanggar syariat Islam kerana perbuatan itu dikaitkan dengan kesatuan, sambungan atau penyatuan roh individu dan roh alam semesta.

JAWI dalam kenyataan menyatakan, senaman yoga berpunca daripada falsafah agama Hindu untuk melepaskan diri daripada lingkaran samsara, pembebasan dari karma dan mencapai ke peringkat moksha.

Katanya, yoga juga bertujuan untuk menyatukan diri dengan tuhan dengan cara mengheningkan fikiran melalui senaman, gerakan badan dan pembacaan tertentu.

“Warta Kerajaan pada 2 April 2009 memutuskan senaman yoga yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah haram menurut syariat Islam dan dilarang beramal dengannya,” menurut JAWI.

Sehubungan itu, JAWI menggesa umat Islam supaya mematuhi sebarang bentuk ketetapan hukum yang telah diputuskan.

Ujar agensi itu, sebarang pelanggaran boleh diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

Baru-baru ini tular di laman sosial yang memaparkan video seorang wanita memakai skarf  melakukan aktiviti yoga di hadapan patung berhala.

Tindakan wanita itu menimbulan kecaman kerana dikaitkan dengan penyebaran fahaman Gerakan Zaman Baharu (New Age Movement) melalui amalan kerohanian.

Dalam kenyataannya, JAWI menegaskan agar umat Islam kembali kepada agama kerana manusia tidak dilahirkan semula dalam bentuk lain sebaliknya akan menempuhi kehidupan di alam seterusnya di alam Barzakh.

Menurut jabatan itu, ketenangan jiwa dan kekuatan spiritual datang daripada sumber yang tenang iaitu mengingati Pencipta yang Maha Esa dan hati akan tenang dengan berzikir kepada Allah SWT seperti yang digariskan buat umat Islam.

Sehubungan itu, JAWI menasihatkan umat Islam supaya berwaspada dengan sebarang aktiviti atau senaman yang mempunyai unsur-unsur kepercayaan agama lain, mistik dan bertentangan dengan akidah dan syariat Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here