JOHOR BAHRU – Sudah tiba masanya UMNO membuat keputusan meninggalkan Kerajaan Madani dan bergerak solo untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, ini kerana UMNO kini dilihat ‘curang’ dalam keadaan ikatan hubungan dan kerjasama dengan Kerajaan Madani masih belum terlerai.
“UMNO tidak boleh lagi dilihat main kayu tiga. Lebih malang aktiviti kayu tiga berlaku di siang hari depan khalayak tanpa langsung rasa malu.
“Sampai ke hari ini UMNO masih meneka-neka siapa ‘pasangan’ yang mereka pilih untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Presiden UMNO pula baru semalam keluarkan kenyataan bertentangan dengan PMX dengan menyatakan beliau lebih suka sekiranya PRU diadakan lebih awal.
“Itu belum kira isu KKDW-MOF (kelewatan pembayaran kepada kontraktor projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melibatkan kelulusan Kementerian Kewangan) yang juga belum berkesudahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua tindak-tanduk ‘kecurangan’ UMNO dapat dilihat dalam Muktamar Pas di Putik, Kota Bharu, Kelantan yang berlangsung semalam yang dihadiri sebilangan pemimpin parti itu walapun asalnya dijangka dihadiri oleh Presiden UMNO sendiri.
Menerusi Muktamar Pas itu juga katanya, tanpa berlapik, Pas umum untuk kekalkan penguasaan atas empat negeri yang ditadbirnya selain mengekalkan semua kerusi Parlimen yang mereka menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Itu belum lagi dilihat pada tema Muktamar Pemuda Pas yang bertajuk Memimpian Penyatuan,” sindir Ahli Jawatankuasa Amanah Johor tersebut.
Katanya, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula bakal menyusul seminggu lagi dan sudah tentu cakap-cakap perpaduan bersama-sama Pas serta menghentam Kerajaan Madani, Perdana Menteri dan DAP akan menjadi tajuk utama.
“Bagi saya mudah. Lebih elok UMNO terus saja buat keputusan segera, keluar dan hentikan sokongan pada PMX dan Kerajaan Madani dan bersedia untuk bertanding tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan dan Kedah, sifar kerusi DUN di Terengganu dan satu kerusi DUN di Perlis.
“Itu pun sekiranya UMNO sebagai yang dihebohkan sebagai parti keramat boleh sekadar menjadi seolah-olah ‘balaci’ di negeri SG4 dan juga negeri seperti Pahang, Selangor dan Perak yang juga berpotensi diketuai dan dikuasai Pas,” katanya.
Bukan itu sahaja katanya, di peringkat Persekutuan pula UMNO bakal berdepan dengan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa juga bercita-cita tinggi menjadi perdana menteri.
“Mungkin sudah tiba juga masa UMNO yang dulunya parti keramat orang Melayu sekadar menjadi pelengkap sebuah lagi parti Islam/Melayu iaitu Pas dan melihat Haji Hadi sebagai Penasihat Agung Kerajaan Pas-UMNO pasca PRU-16 kelak.
“Ditelan mati bapak, diluah mati anak. Itulah peribahasa paling cucuk kepada UMNO, parti ‘keramat’ orang Melayu. Seharusnya, jika tidak mahu sekadar jadi pelengkap, UMNO patut bergerak secara solo dan buktikan Gelombang Biru itu sememangnya Biru BN, dan bukan biru PN (Perikatan Nasional),” ujarnya. – MalaysiaGazette
















