MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila melihat anak muda hadir dan berani berdepan dengannya secara terus dalam sesi townhall anak muda hari ini.
Ab Rauf berkata, pertemuan secara bersemuka itu merupakan antara perkara yang dinanti-nantikannya kerana ia memberi peluang untuk mendengar sendiri suara, pandangan dan luahan generasi muda tanpa sebarang perantara.
Malah, beliau menyifatkan golongan muda yang hadir sebagai “kesayangan” dan mengakui pertemuan itu mengimbau kembali zaman mudanya ketika beliau sendiri belum memahami sepenuhnya maksud tanggungjawab yang sering ditekankan pemimpin ketika itu.
“Saya ucap terima kasih kepada anak muda yang berhadapan dengan saya secara terus pada pagi ini.
“Sebenarnya, waktu dan ketika inilah yang saya tunggu-tunggu untuk saya berdepan dengan anda semua, kerana anda semua adalah kesayangan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuka bicara sebelum sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka dengan kerjasama MalaysiaGazette sempena Karnival Anak Melaka Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, ketika berada pada usia sama seperti anak muda yang hadir, beliau sendiri tidak begitu memahami apabila pemimpin ketika itu sering menyebut bahawa generasi muda merupakan pemimpin masa depan.
“Saya masih ingat sewaktu saya seusia sama dengan anda semua, tatkala pemimpin mengatakan ‘awaklah pemimpin masa depan’, saya tak masuk kepala.
“Tak tahu. Waktu ketika itu kita telah percaya haluan hidup kita, kita pun apa juga pemimpin cakap, kita tak boleh terima dalam kepala kita waktu ketika itu,” katanya.
Namun, katanya, perspektif itu berubah apabila beliau sendiri diberi amanah memimpin dan mula memahami beban serta tanggungjawab yang perlu dipikul terhadap rakyat.
“Tetapi apabila saja jadi pemimpin, baru saya tahu rasa beban, tanggungjawab, amanah ini mesti saya berikan kepada generasi muda terutamanya apabila saya menerajui kerajaan negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata, apa juga panggilan yang diberikan kepadanya bukan perkara utama kerana keutamaannya adalah memastikan kehidupan rakyat Melaka, termasuk anak muda, terus terbela.
“Ada orang suka panggil saya Tok Rauf, ada orang suka panggil abang, saya tak kisahlah.
“Bukan nama yang saya buru, yang saya buru ialah kelestarian rakyat Melaka mesti saya perkemaskan dari masa ke semasa,” katanya.
Ab Rauf berkata, kerajaan negeri bertanggungjawab memastikan setiap rakyat mempunyai peluang untuk meneruskan kehidupan dengan baik, termasuk memastikan keperluan asas keluarga sentiasa terjamin.
“Struktur kerajaan yang ada mesti memastikan bahawa di rumah ada pinggan yang berisi makanan pada setiap masa.
“Mewah tak mewah, wajib kerajaan mencetuskan pelbagai peluang untuk rakyat dapat hidup bersama-sama dengan dasar kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















