KUALA LUMPUR – Pemakaian baju lokap berwarna oren terhadap orang kena siasat (OKS) seolah-olah menjadi ‘hukuman sosial’ sebelum mereka dibicarakan di mahkamah, kata peguam M Partiben.
Katanya kepada MalaysiaGazette, meskipun pemakaian pakaian berkenaan mempunyai justifikasi dari sudut keselamatan dan pengurusan tahanan, kesannya terhadap maruah serta persepsi awam terhadap seseorang yang belum dibuktikan bersalah perlu turut dipertimbangkan.
“Orang yang direman masih belum dibuktikan bersalah. Reman bukan hukuman dan baju lokap juga tidak sepatutnya dilihat sebagai satu bentuk hukuman.
“Apabila seseorang dibawa ke mahkamah dengan baju oren, orang awam mungkin terus mengaitkannya dengan seorang penjenayah sedangkan proses siasatan masih berjalan,” katanya.

Menurut Partiben, stigma berkenaan boleh menjadi lebih serius apabila gambar OKS dalam pakaian lokap dirakam dan tersebar kepada umum, khususnya bagi kes berprofil tinggi.
Beliau berkata, keadaan itu berpotensi menjejaskan reputasi seseorang termasuk kehidupan profesional dan sosial, walaupun akhirnya individu berkenaan mungkin tidak didakwa atau dibebaskan daripada pertuduhan.
“Kalau seseorang itu akhirnya didapati tidak bersalah atau tiada pertuduhan dikenakan, persoalannya ialah bagaimana kita memulihkan semula imej dan reputasinya selepas gambar serta persepsi itu sudah tersebar,” ujarnya.
Bagaimanapun, Partiben berkata, pemakaian baju oren semata-mata tidak bermakna seseorang OKS secara automatik mempunyai asas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa.
Menurutnya, jika seseorang mendakwa reputasinya tercalar, beberapa faktor perlu diteliti termasuk bagaimana imej tersebut digunakan, siapa yang menerbitkannya dan apakah gambaran yang diberikan kepada orang awam.
“Gambar seseorang memakai baju oren sahaja belum tentu menjadi asas tuntutan. Tetapi jika gambar atau kenyataan yang disiarkan membawa gambaran individu itu sudah melakukan kesalahan atau merupakan seorang penjenayah, isu undang-undang yang berbeza boleh timbul,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu perlu dibezakan antara tindakan pihak berkuasa menguruskan tahanan dengan penerbitan gambar atau kenyataan kepada pihak ketiga yang berpotensi menjejaskan reputasi individu.
Dalam pada itu, Partiben mengakui terdapat rasional penggunaan baju lokap dari sudut operasi, antaranya memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti tahanan dan mengurangkan risiko keselamatan.
Katanya, pakaian seragam juga memastikan semua tahanan dilayan secara sama rata tanpa mengira kedudukan atau latar belakang, selain reka bentuknya boleh membantu mengurangkan risiko keselamatan.
“Dari sudut keselamatan, baju lokap tidak mempunyai tali, zip atau butang tertentu yang boleh disalahgunakan untuk mencederakan diri atau menyembunyikan barangan terlarang,” jelasnya.
Namun, Partiben berkata, justifikasi keselamatan perlu diseimbangkan dengan hak dan maruah individu, terutama apabila seseorang OKS dibawa keluar dari lokap dan hadir di mahkamah.
“Kalau tujuan utamanya keselamatan, kita faham. Tetapi persoalannya sama ada setiap tahanan perlu dipamerkan kepada khalayak dalam pakaian yang terus melabelnya sebagai tahanan sedangkan dia belum disabitkan,” katanya.
Beliau turut membezakan penggunaan baju lokap dengan gari kerana kedua-duanya mempunyai tujuan berbeza.
Menurutnya, penggunaan gari lebih berkait dengan faktor keselamatan dan risiko seseorang tahanan melarikan diri atau membahayakan orang lain, manakala baju oren memberikan kesan visual yang lebih jelas terhadap persepsi orang awam.
Partiben berkata, Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah berkaitan proses reman juga perlu difahami dalam konteks bahawa tahanan masih berada pada peringkat siasatan dan reman bukan proses menentukan kesalahan seseorang.
“Pada peringkat reman, belum ada keputusan bahawa orang itu bersalah. Sebab itu cara seseorang tahanan diperlakukan juga perlu mengambil kira prinsip keadilan dan maruah manusia,” katanya.
Mengulas keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung pemakaian baju oren terhadap OKS ketika dibawa ke mahkamah, Partiben menyifatkan langkah itu wajar dilihat sebagai usaha menyeimbangkan keperluan keselamatan dengan perlindungan terhadap hak individu.
“Perubahan SOP itu tidak semestinya bermaksud amalan terdahulu adalah tidak sah. Tetapi ia menunjukkan prosedur boleh dinilai semula supaya matlamat keselamatan dapat dicapai tanpa menimbulkan stigma yang tidak perlu terhadap seseorang yang belum dibuktikan bersalah,” katanya.
Beliau menegaskan penguatkuasaan undang-undang perlu memastikan seseorang yang masih dalam proses siasatan tidak menerima ‘hukuman sosial’ sebelum mahkamah membuat keputusan. – MalaysiaGazette
















