Ab Rauf ketika sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka dengan kerjasama MalaysiaGazette sempena Karnival Anak Melaka Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

MELAKA – Golongan wanita yang terpaksa meninggalkan kerjaya bagi memberi tumpuan kepada keluarga tidak seharusnya dilihat sebagai sudah ‘tidak laku’ dalam pasaran pekerjaan, sebaliknya wajar diberi peluang kedua untuk kembali bekerja.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh memberi jaminan kerajaan negeri akan melihat ruang pekerjaan bersesuaian untuk golongan berkenaan, khususnya menerusi perkembangan projek hab logistik dan industri baharu di negeri ini.

Beliau berkata, antara yang akan diberi perhatian ialah peluang pekerjaan ringan yang tidak semestinya memerlukan kelayakan teknikal tinggi, sekali gus membolehkan wanita yang mempunyai jurang kerjaya (career gap) kembali membina kehidupan dan pendapatan.

“Melaka, saya nak beri tahu, memang ada ruang-ruang yang ada ini, tapi tak banyak.

“Insya-Allah, dasar itu saya tengok Melaka telah pun dalam pembinaan Inland Port yang kedua terbesar di Malaysia di Alor Gajah.

“Saya akan tengok kalau misal kata ada ruang esok, kerja-kerja ringan ini boleh diberikan kepada mereka-mereka yang diberi peluang kedua untuk menempuh kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wanita muda berusia 32 tahun pada sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka dengan kerjasama MalaysiaGazette sempena Karnival Anak Melaka Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Soalan dibangkitkan mengenai isu wanita yang terpaksa mengambil keputusan berehat daripada kerjaya selepas berkahwin dan mempunyai anak, namun berdepan kesukaran untuk kembali bekerja apabila anak sudah besar.

Katanya, golongan berkenaan bukan sahaja berdepan masalah jurang dalam resume, malah kemahiran dan kelayakan yang dimiliki sebelum ini mungkin tidak lagi menepati kehendak pasaran pekerjaan semasa.

Menjawab persoalan itu, Ab Rauf berkata, terdapat model pekerjaan yang boleh dijadikan contoh dalam membantu individu yang mempunyai jurang kerjaya untuk kembali ke alam pekerjaan.

Beliau mengambil contoh operasi di Pelabuhan Tanjung Pelepas yang menurutnya pernah membuka peluang kepada wanita, termasuk golongan yang berdepan perubahan besar dalam kehidupan, untuk bekerja sebagai pemandu trak kontena di kawasan pelabuhan.

“Kalau dia tidak layak pada kelayakan dia, kemahiran dia sebab tidak lagi produktif, maka kelayakan dia yang terbaik ialah menjadi pemandu trak kontena yang dipindahkan di antara port ke kawasan tak jauh, dalam satu kilometer.

“Dan telah berlaku proses ini selama 15 tahun dan menjadi contoh bagaimana nak membantu generation gap tadi, yang lepas dia cerai atau ada masalah rumah tangga,” katanya.

Ab Rauf berkata, pendekatan sedemikian menunjukkan peluang pekerjaan boleh diwujudkan dengan mengambil kira keadaan sebenar seseorang individu, bukannya hanya bergantung kepada sijil atau rekod pekerjaan terdahulu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here