MELAKA – Melaka bakal muncul sebagai hab helikopter terbesar di rantau ini menerusi pembangunan pusat pengurusan dan penyelenggaraan helikopter di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, projek berkenaan dijangka direalisasikan tahun depan aku dengan nilai pelaburan RM17 bilion, sekali gus meletakkan Melaka dalam strategik bagi industri penerbangan serantau.
“…saya nak bagi tahu, tahun depan Melaka jadi hub helikopter yang terbesar di rantau ini.
“Airport Batu Berendam akan dijadikan hub pusat mengurus dan memperbaiki helikopter pertama di rantau ini dengan pelaburan RM17 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka dengan kerjasama MalaysiaGazette sempena Karnival Anak Melaka Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, pembangunan hab berkenaan adalah antara usaha kerajaan negeri memperluas sektor ekonomi baharu selain industri sedia ada, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya golongan muda.
Katanya, Melaka kini sedang memperkukuh kedudukannya sebagai negeri yang mempunyai kepelbagaian sektor ekonomi dan berpotensi menjadi pusat rujukan di peringkat serantau.
“Saya pikul tanggungjawab ini untuk rakyat Melaka yang saya akan berikan peluang untuk bersama-sama dengan saya memakmurkan Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette
















