Gambar ihsan laman Facebook Bahagian Dakwah, Jakim.

KUALA LUMPUR – Aktiviti yoga bukan sekadar senaman atau regangan semata-mata, sebaliknya ia melibatkan perbuatan yang `bersentuhan’ dengan akidah umat Islam.

Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, di sebalik sesuatu amalan fizikal, aktiviti itu turut melibatkan fahaman, falsafah, ritual atau unsur keagamaan tertentu.

Menurut jabatan itu, Islam tidak menghalang umatnya bersenam, namun perlu berhati-hati kerana akidah merupakan perkara yang sangat besar dalam kehidupan seorang Muslim.

“Nampak orang buat yoga, kita lihat mereka melakukan regangan, duduk bersila, kawal pernafasan dan cuba menenangkan fikiran.

“Secara zahirnya memang nampak seperti aktiviti fizikal biasa. Tetapi dalam Islam, ada satu perkara yang kita perlu faham.

“Kadang-kadang, di sebalik sesuatu amalan fizikal itu terdapat fahaman, falsafah, ritual atau unsur keagamaan tertentu,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Baru-baru ini tular di laman sosial yang memaparkan video seorang wanita memakai skarf yang melakukan aktiviti yoga di hadapan patung berhala.

Tindakan wanita itu menimbulan kecaman kerana dikaitkan dengan penyebaran fahaman Gerakan Zaman Baharu (New Age Movement) melalui amalan kerohanian.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam satu kenyataan turut menjelaskan, aktiviti yoga melanggar syariat Islam kerana perbuatan itu dikaitkan dengan kesatuan, sambungan atau penyatuan roh individu dan roh alam semesta.

Bahagian Dakwah Jakim selanjutnya menjelaskan, yoga bertujuan untuk menyatukan diri dengan tuhan melalui pengheningan fikiran yang dilakukan menerusi senaman, gerakan badan dan pembacaan tertentu.

“Jadi, apabila kita bercakap tentang yoga, kita perlu melihatnya dalam konteks yang lebih luas. Ia bukan sekadar persoalan `tak boleh ke buat stretching?.

“Tetapi persoalannya ialah `adakah aktiviti yang dilakukan itu hanya senaman fizikal atau turut mengandungi unsur keagamaan dan kepercayaan yang bertentangan dengan Islam?.

“Jadi, jangan mudah melihat sesuatu hanya pada luaran. Ia bukan sekadar `duduk dan tarik nafas atau cuma ikut gerakan’,” ujar Jakim.

Jabatan itu turut menasihatkan umat Islam supaya tidak terpedaya dengan pelbagai program yang berselindung di sebalik label tertentu yang kelihatan moden dan menarik.

Ujarnya, ada yang mungkin sekadar istilah berkaitan kesihatan dan kesejahteraan namun ada yang menyelitkan unsur falsafah atau kepercayaan tertentu.

Menurutnya, Warta Kerajaan pada 2 April 2009 telah memutuskan bahawa senaman yoga yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah haram menurut syariat Islam dan dilarang beramal dengannya.

Sehubungan itu, kata Jakim, sesuatu yang bermula sebagai aktiviti fizikal, dikhuatiri membawa kepada fahaman yang bercanggah dengan pegangan Islam.

Menurutnya, Islam mengajar cara untuk mencari ketenangan dengan cara bersenam, beriadah dan mencari suasana yang mendamaikan termasuk dengan bercuti.

“Sebagai seorang Islam, kita perlu tahu bahawa ketenangan jiwa yang sebenar mempunyai sumbernya. Bukan dengan menyatukan diri dengan roh alam. Bukan dengan mencari kekuatan spiritual melalui kepercayaan yang bercanggah dengan tauhid,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here