BATU PAHAT – Sebanyak 600 kartrij vape yang dipercayai mengandungi cecair dadah jenis piu-piu berjaya dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Senggarang, dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, bot peronda yang sedang melakukan rondaan telah mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan pukul 12 tengah malam.
“Sejurus menyedari kehadiran bot maritim, suspek yang berada di atas bot tersebut bertindak melarikan diri dengan meninggalkan bot dinaiki di tepi pantai.
“Hasil pemeriksaan keatas bot yang ditinggalkan pihak penguat kuasa mendapati sebuah beg berwarna hitam mengandungi lebih 600 kartrij vape yang mengandungi cecair disyaki mengandungi bahan dadah jenis ‘Piu Piu’ anggaran bernilai RM160,000.
“Barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Batu Pahat untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohammad Zaini berkata, sampel cecair vape berkenaan akan dihantar untuk analisis makmal bagi mengesahkan kandungan bahan yang disyaki sebagai dadah.
Pihaknya menyeru orang awam serta komuniti maritim untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan kepada pihak berkuasa bagi membantu membenteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.- MalaysiaGazette
















