Seekor induk dan anak orang utan dipindahkan oleh pegawai susulan kebakaran hutan dan tanah di Kampung Sungai Awan Kiri, daerah Muara Pawan, Ketapang, Kalimantan Barat.

 

JAKARTA – Seekor induk orang utan bersama anaknya yang terancam akibat kebakaran hutan yang merebak ke habitat mereka di Indonesia berjaya diselamatkan awal minggu ini, menurut pihak berkuasa.

Kepulauan Asia Tenggara itu sejak beberapa minggu lalu berdepan kebakaran hutan yang menyelubungi sebahagian kawasan Borneo dan Sumatera dengan asap tebal, selain jerebu turut menyumbang kepada pencemaran udara di Malaysia, Singapura dan Filipina.

Pasangan orang utan berkenaan dipantau sejak Julai selepas ditemui di kawasan ladang berhampiran hutan di Kalimantan Barat, menurut agensi pemuliharaan sumber alam.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memutuskan untuk memindahkan kedua-duanya ke pusat penyelamatan kendalian Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (YIARI) pada Khamis selepas kebakaran merebak berhampiran habitat mereka.

Kesihatan kedua-dua orang utan itu kini dipantau rapi oleh doktor haiwan, namun pemeriksaan awal mendapati kedua-duanya tidak mengalami kecederaan akibat kebakaran.

“Pendedahan kepada asap dalam tempoh tertentu boleh menjejaskan sistem pernafasan orang utan, khususnya apabila kepekatan asap di habitat sangat tinggi.

“Kedua-dua orang utan ini akan terus dipantau sepanjang berada di pusat penyelamatan dan pemulihan,” kata doktor haiwan YIARI, Komara

Penyelamatan terbaharu itu menjadikan sembilan orang utan telah dipindahkan akibat ancaman kebakaran hutan dalam tempoh kurang sebulan di daerah Ketapang, Kalimantan Barat, kata Pengarah Operasi YIARI, Argitoe Ranting.

Ini menunjukkan kebakaran bukan sahaja memusnahkan hutan, malah menyebabkan haiwan kehilangan tempat tinggal dan sumber makanan.

Beliau berkata, kebanyakan haiwan “tidak mempunyai banyak pilihan” untuk berpindah apabila habitat mereka terbakar.

Seekor orang utan mati selepas diselamatkan minggu lalu, dengan keputusan bedah siasat menunjukkan pendedahan kepada asap sebagai punca kematian, menurut agensi pemuliharaan sumber alam Kalimantan Barat. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here