Warga Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terlibat dalam melaksanakan inisiatif pendidikan dan saringan kesihatan, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) memperkukuhkan komitmennya untuk mendekati komuniti melalui inisiatif pendidikan dan saringan kesihatan yang dilaksanakan bersempena  perasmian Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) pada 22 Ogos lalu.

Inisiatif ini memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengesanan awal kanser, khususnya kanser payudara, di samping membawa mesej  penjagaan kesihatan bukan hanya bermula apabila seseorang mengalami simptom, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan seharian.

Dalam usaha membawa mesej ini lebih dekat kepada masyarakat, Unit Imejan PKTAAB, dengan sokongan rakan teknologi GE HealthCare, telah menawarkan pemeriksaan saringan menggunakan teknologi ABUS (Automated Breast Ultrasound System).

ABUS merupakan teknologi ultrasound payudara automatik yang menghasilkan imej tiga dimensi (3D) dan boleh membantu dalam penilaian payudara, khususnya dalam kalangan wanita yang mempunyai tisu payudara padat.

Dalam keadaan tertentu, bagi wanita yang mempunyai payudara padat, sesetengah ketumbuhan kecil mungkin lebih sukar dikesan melalui mammogram sahaja.

Program ini turut dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Pasukan Program Khidmat Masyarakat &a Kesihatan (PROMASK) yang berkongsi demonstrasi serta panduan praktikal mengenai Pemeriksaan Sendiri Payudara (BSE).

Pendidikan mengenai pemeriksaan sendiri payudara penting kerana ia membantu wanita menjadi lebih peka dengan keadaan normal payudara mereka sendiri.

Kesedaran ini membolehkan sebarang perubahan baharu atau luar daripada kebiasaan dikenal pasti dan seterusnya
mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Kanser payudara merupakan antara kanser yang perlu diberikan perhatian serius dalam kalangan wanita. Walaupun risiko meningkat dengan usia, kanser payudara tidak seharusnya dianggap sebagai penyakit yang hanya berlaku kepada wanita berusia.

Memandangkan terdapat kes kanser payudara yang berlaku pada usia yang lebih muda, kesedaran serta kepekaan terhadap sebarang perubahan pada payudara amat penting agar penilaian dapat dilakukan lebih awal.

Apa yang lebih membimbangkan, kanser payudara pada peringkat awal mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom yang jelas.

Oleh itu, menunggu sehingga munculnya simptom bukanlah pendekatan terbaik.

Kesedaran, pemeriksaan yang bersesuaian dan penilaian perubatan apabila terdapat perubahan yang mencurigakan
merupakan antara langkah penting dalam menjaga kesihatan payudara.

Pengesanan awal amat penting kerana kanser yang dikenal pasti pada peringkat lebih awal secara amnya mempunyai lebih banyak pilihan rawatan dan peluang untuk mendapatkan hasil rawatan yang lebih baik. Justeru, setiap individu perlu memainkan peranan dalam mengenali tubuh sendiri dan tidak mengabaikan perubahan yang berlaku.

Bagi kanser payudara, antara perubahan yang perlu diberi perhatian termasuk ketulan atau perubahan pada payudara, perubahan bentuk atau saiz payudara, perubahan pada kulit atau puting serta sebarang perubahan lain yang luar daripada kebiasaan.

Namun, penting untuk difahami bahawa tidak semua perubahan pada payudara bermaksud kanser. Sebaliknya, sebarang perubahan yang luar biasa perlu dinilai oleh petugas kesihatan supaya pemeriksaan lanjut dapat dilakukan sekiranya diperlukan.

Mesej yang ingin diketengahkan adalah mudah: kenali tubuh sendiri, jangan abaikan perubahan dan dapatkan pemeriksaan apabila perlu.

Melalui inisiatif saringan yang dilaksanakan, seramai 13 wanita telah dirujuk untuk menjalani penilaian lanjut menggunakan teknologi ABUS.

Daripada jumlah tersebut, dua kes mencurigakan berjaya dikenal pasti dan seterusnya dirujuk kepada pasukan pembedahan
PKTAAB untuk penilaian serta tindakan susulan.

Penemuan ini mengingatkan kita bahawa usaha meningkatkan kesedaran dan menyediakan akses kepada saringan kesihatan yang bersesuaian di peringkat komuniti amat penting.

Setiap penemuan yang mencurigakan membuka peluang untuk penilaian lanjut, diagnosis yang lebih tepat dan sekiranya diperlukan, rawatan dapat dimulakan pada peringkat yang lebih awal.

Usaha memerangi kanser bukan hanya tanggungjawab hospital dan petugas kesihatan. Ia memerlukan penglibatan seluruh masyarakat dan individu itu sendiri.

Komuniti boleh menjadi medium penting dalam menyebarkan maklumat kesihatan yang tepat serta menggalakkan budaya mendapatkan pemeriksaan apabila diperlukan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here