BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperkenalkan sejarah, perkembangan dan teknologi perkeretaapian kepada masyarakat menerusi Galeri Interaktif Teknologi Kereta Api Johor di Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), kampus induk.
Majlis bersempena Program Rel Merdeka 69 di bawah penyelarasan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat itu diadakan bagi meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-69 peringkat UTHM.
Galeri berkenaan mengetengahkan sejarah dan perkembangan teknologi kereta api di Johor melalui pendekatan pameran yang lebih interaktif, dengan menggabungkan elemen digital dan teknologi imersif bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik kepada pengunjung.
Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali berkata, pembangunan galeri tersebut selari dengan aspirasi universiti untuk mengangkat kepakaran akademik dan teknologi UTHM agar dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.
Katanya, UTHM melalui kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi rel mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem pengangkutan rel negara, selain memperkasa pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai teknologi tersebut.
”Galeri ini menjadi salah satu platform yang menghubungkan ilmu akademik, teknologi, sejarah dan pengalaman pembelajaran dalam satu ruang yang lebih dekat dengan masyarakat.
”Ia juga memperlihatkan bagaimana kepakaran universiti boleh diterjemahkan dalam bentuk yang lebih mudah diakses dan difahami oleh khalayak,” katanya.
Galeri Interaktif Teknologi Kereta Api Johor merupakan salah satu inisiatif PTTA yang mengangkat bahan dan kandungan berkaitan sejarah serta teknologi kereta api Johor dalam bentuk pameran interaktif.
Platform pameran itu telah dibangunkan secara berperingkat dan turut disokong dengan pembangunan kandungan digital serta teknologi VR/AR.
Perkembangannya turut melibatkan pembangunan simulasi kereta api, termasuk sesi Training of Trainers bagi jawatankuasa simulasi kereta api yang dilaksanakan di galeri tersebut pada April 2026.
Selain berfungsi sebagai ruang pameran, galeri berkenaan turut berpotensi menjadi medium sokongan kepada pembelajaran dan pengembangan minat dalam bidang pengangkutan rel.
Pembangunan galeri interaktif itu merupakan hasil kerjasama strategik PTTA bersama penyelidik UTHM, agensi kerajaan dan rakan industri dalam usaha memelihara khazanah warisan serta memperkasa pendidikan berteraskan penerokaan.
Antara rakan strategik yang terlibat, fakulti dan Pusat Tanggungjawab di UTHM, RailX UTHM, MakerSpace@UTHM, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mas Rapid Transit (MRT), RTS Link, Arkib Negara Malaysia Cawangan Negeri Johor serta Galeri Sejarah Johor.
Pembangunan galeri itu sekali gus memperlihatkan sinergi antara kepakaran akademik, teknologi digital dan usaha pemeliharaan sejarah dalam mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik, selain menyokong usaha memperkenalkan bidang teknologi rel kepada generasi akan datang. – MalaysiaGazette
















