Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi bercakap pada media selepas Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Selangor di Hotel Concorde Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 28 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Empat acara Para SUKMA Selangor 2026 yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 169 di Shah Alam dan Klang setakat tengah hari tadi.

Acara yang terjejas ialah Para Olahraga di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM), Para Renang di Kompleks Akuatik Selangor, Para Memanah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor (KOMBES) serta Boling Padang di Bayuemas, Klang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026, Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak penganjur menerima nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan serta jawatankuasa khas teknikal.

“Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Shah Alam dan Klang setakat pukul 12 tengah hari ini memaksa pihak penganjur untuk menangguhkan acara Para Olahraga di Stadium UiTM, Para Renang di Kompleks Akuatik Selangor, acara Para Memanah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor (KOMBES) dan Boling Padang di Bayuemas, Klang,” katanya.

Menurutnya yang juga Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, pemantauan terhadap keadaan IPU di lokasi pertandingan akan dilakukan dari semasa ke semasa sebelum sebarang keputusan mengenai penyambungan semula acara dibuat.

“Bergantung kepada keadaan IPU di kawasan pertandingan sedang berlangsung,” katanya.

Sebagai rekod, Saingan Para SUKMA Selangor 2026 bermula semalam dengan beberapa acara dijadual berlangsung pada sebelah pagi hari ini, termasuk Para Olahraga, Powerlifting, Para Memanah, Para Badminton, Boccia, Ping Pong, Catur dan Boling Padang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here