MELAKA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara berseloroh meminta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh supaya segera membuat pengumuman berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu akan memberi ruang kepada rakyat, khususnya golongan muda, untuk menentukan masa depan negeri.
Menurut Ahmad Zahid, anak muda Melaka sudah bersedia dan mempunyai peranan besar dalam menentukan hala tuju politik negeri.
“Datuk Seri Rauf, gunakanlah sokongan daripada anak-anak muda ini untuk terus menstabilkan politik negeri Melaka.
“Cepat-cepatlah umum, jangan tunggu lewat. Lebih cepat lebih baik kerana anak-anak muda telah bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO meminta Ab Rauf mengadakan rundingan dengan semua pihak bagi menentukan bentuk kerjasama terbaik untuk menghadapi PRN Melaka akan datang.
“Datuk Rauf berunding elok-elok. Pilih partner yang taat setia, pilih partner yang boleh memberikan kemenangan kepada kita, pilih partner yang ikhlas dan jujur dengan kita.
“Pilih partner yang bercakap di belakang sama, di depan sama. Bukan partner yang cakap depan lain, belakang buat lain,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengingatkan supaya kepentingan rakyat Melaka menjadi keutamaan dalam menentukan sebarang kerjasama politik.
Dalam pada itu, beliau memuji prestasi Melaka yang mencatat kadar pengangguran sekitar 1.6 peratus, yang disifatkannya antara terendah di negara ini.
Katanya, pencapaian itu menunjukkan perancangan kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan dan masa depan kepada golongan muda membuahkan hasil.

“Ini bukan datang daripada langit. Ia dirancang. Perancangan ini datang daripada Ketua Menteri, ahli EXCO, pegawai-pegawai kerajaan dan ADUN-ADUN.
“Ertinya, Kerajaan Melaka di bawah pimpinan Datuk Seri Utama Rauf telah merancang masa depan anak-anak muda dan memberikan peluang pekerjaan yang banyak,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berharap pendekatan menyantuni rakyat termasuk golongan muda diteruskan secara konsisten dan tidak hanya dilakukan ketika musim politik.
“Jangan bermusim. Kita mesti menyantuni semua rakyat tanpa musim. Kita bukan pemimpin politik yang bermusim, kita pemimpin tanpa musim yang menyantuni semua rakyat pada setiap waktu dan ketika,” katanya. – MalaysiaGazette
















