BATU PAHAT – Sekolah di Johor yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi paras 200 akibat jerebu akan diarah ditutup sementara.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sudah bersedia melaksanakan arahan tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Beliau meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah sentiasa mengemas kini maklumat bacaan IPU semasa bagi membolehkan makluman pantas disalurkan kepada ibu bapa, pelajar dan guru.
“Setakat pagi ini, beberapa daerah merekodkan bacaan IPU tahap tidak sihat, iaitu Segamat (157), Batu Pahat (157), Tangkak (153) dan Kluang (151).
“Jadi, kami sudah berbincang dengan JPN. Sekiranya bacaan melebihi 200, sesi persekolahan akan ditutup. PPD dan guru besar perlu segera mewujudkan platform komunikasi yang berkesan supaya isu ini dapat ditangani dengan baik,” katanya.
Muhammad Naqib berkata demikian dalam sidang akhbar semasa lawatan kerja sempena pembukaan hari pertama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya di Parit Yaani di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohammad Najib Samuri dan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPN, Mohd Azmi Abd Rahman.
Mengulas lanjut, Muhammad Naqib berkata, kerajaan negeri dan JPN turut memantau pelaksanaan aktiviti luar bilik darjah bagi memastikan keselamatan murid terjamin sepanjang fenomena cuaca panas dan jerebu melanda.
Pihaknya difahamkan JPN sudah menyediakan SOP bagi pelaksanaan aktiviti luar dan penutupan sekolah dan sedia untuk melaksanakannya apatah lagi dalam keadaan cuaca panas ketika ini.
“Perlu mengambil serius perkara ini. Jika perlu kurangkan aktiviti luar, kita kurangkan,” tambah beliau lagi.
Letusan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera kelmarin dijangka tidak menjejaskan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johor sehingga menyebabkan sekolah ditutup.- MalaysiaGazette
















