Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 melabuhkan tirai dengan kejayaan membanggakan apabila merekodkan kehadiran lebih lima juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjuran.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, jumlah itu mengatasi sasaran awal empat juta pengunjung, manakala lebih satu juta kenderaan turut direkodkan sepanjang penganjuran di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Menurut KPKM, peningkatan kehadiran daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk masyarakat Cina dan India, membuktikan MAHA semakin diterima sebagai platform nasional yang merentasi kaum dan latar belakang.

“Pencapaian ini turut mencerminkan keterangkuman MAHA sebagai ruang untuk rakyat bersama-sama mengenali, menikmati dan menyokong perkembangan sektor pertanian, agromakanan dan agropelancongan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kejayaan MAHA 2026 turut diterjemahkan menerusi pencapaian ekonomi apabila sebanyak 97 Memorandum Persefahaman (MoU) berjaya dimeterai membabitkan nilai keseluruhan lebih RM10.35 bilion.

Jumlah itu melepasi sasaran RM8 bilion yang ditetapkan, manakala nilai jualan keseluruhan pula mencapai lebih RM73 juta, turut mengatasi sasaran RM58 juta.

Lebih membanggakan, KPKM berkata, lebih dua juta belia atau 40 peratus daripada keseluruhan pengunjung hadir memeriahkan MAHA 2026, jauh melebihi sasaran awal kementerian sebanyak 800,000 orang.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa MAHA terus kekal sebagai platform utama negara dalam menghimpunkan seluruh ekosistem pertanian dan agromakanan, di samping membuka ruang serta peluang perniagaan, pelaburan dan jaringan kerjasama kepada pelbagai pihak,” katanya.

KPKM berkata, pelbagai pengisian yang diketengahkan menerusi MAHA 2026 turut berjaya mendekatkan masyarakat dengan perkembangan teknologi dan inovasi selain mengetengahkan potensi besar sektor pertanian sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, kejayaan penganjuran edisi kali ini adalah hasil komitmen dan kerjasama erat semua kementerian, jabatan serta agensi, kerajaan negeri, pempamer, rakan strategik, media, petugas dan seluruh pihak yang terlibat.

“MAHA 2026 sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai platform berprestij yang bukan sahaja mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat, malah berjaya menjana nilai ekonomi yang signifikan serta memperkukuh agenda pembangunan sektor pertanian, agromakanan dan keterjaminan makanan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here