Shazeli menunjukan gambar wajah-wajah suspek yang masih dikesan susulan kes pergaduhan berkumpulan di Alam Megah dan Seri Muda, Shah Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM – Polis menahan 21 lelaki tempatan dan merampas pelbagai senjata dalam usaha menyelesaikan dua kes pergaduhan berkumpulan di Alam Megah dan Seri Muda, Shah Alam yang masing-masing mengakibatkan seorang lelaki maut serta seorang lagi cedera.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, daripada jumlah itu, lapan suspek telah dituduh mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 149 Kanun Keseksaan bagi kes kematian, manakala empat lagi dituduh mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi kes menyebabkan kecederaan.

Beliau berkata, polis masih memburu 10 lagi suspek bagi kedua-dua kes berkenaan, iaitu tujuh individu bagi kes kematian dan tiga lagi bagi kes kecederaan.

“Kes pertama berlaku di Alam Megah, Shah Alam dan mengakibatkan seorang lelaki tempatan berusia kira-kira 23 tahun meninggal dunia, manakala kes kedua berlaku di Seri Muda, Shah Alam dan menyebabkan seorang lelaki tempatan cedera.

“Kes kematian disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala kes kecederaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis di sini, hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, mangsa yang meninggal dunia mempunyai beberapa rekod lampau dan dipercayai pernah terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Susulan kedua-dua kejadian itu, katanya, Polis Kontinjen Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam melancarkan beberapa siri operasi khas bermula 14 Ogos hingga 28 Ogos lalu.

“Operasi dijalankan di beberapa lokasi sekitar Selangor serta negeri lain dan berjaya menahan 21 lelaki warga tempatan berusia antara 23 hingga 46 tahun.

“Antara lokasi tangkapan ialah Taman Seri Muda, Seksyen 19 Shah Alam, Klang, Lengga di Muar serta Iskandar Puteri, Johor,” katanya.

Shazeli berkata, polis turut merampas pelbagai senjata dan bahan bukti penting bagi membantu siasatan kedua-dua kes berkenaan.

Antara yang dirampas ialah tujuh bilah parang, sebatang tukul besi, dua pemotong kabel, sebuah alat pengunci stereng, sembilan kereta, tiga motosikal serta beberapa telefon bimbit pelbagai jenama.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, lapan suspek turut dibebaskan kerana kekurangan keterangan dan bahan bukti berkaitan.

“Polis kini memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung 10 suspek yang masih bebas untuk tampil membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terserempak dengan mana-mana individu terbabit diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” ujarnya.

Beliau menegaskan, Polis Kontinjen Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan gengsterisme.

“Pihak polis akan memastikan semua individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan demi memelihara keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di Selangor,” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here