KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan cukup mesra malah beberapa kali dilihat berbisik dan ketawa bersama dalam satu program di sini hari ini.
Duduk bersebelahan, kedua-dua pemimpin itu dilihat selesa berbual sepanjang acara dan Ahmad Zahid beberapa kali membisikkan sesuatu kepada Anwar sebelum Perdana Menteri itu juga ketawa kecil.
Pada satu ketika, Anwar turut dilihat menepuk Ahmad Zahid secara mesra sebelum kedua-duanya kembali berbisik dan ketawa.
Gelagat itu dilihat berulang beberapa kali sepanjang Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: ‘Arkitek Pembangunan Negara Bangsa’ di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana di sini hari ini.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu diadakan bagi mengenang jasa dan legasi Tun Abdul Razak dalam pembangunan negara, perpaduan serta pembinaan negara bangsa.
Momen kemesraan itu mendapat perhatian kerana sejak beberapa hari lalu timbul pelbagai spekulasi mengenai dakwaan hubungan Anwar dan Ahmad Zahid yang dikatakan semakin renggang.
Sebelum ini, Bloomberg melaporkan hubungan kedua-dua pemimpin itu dikatakan semakin tegang sejak beberapa minggu kebelakangan ini termasuk dakwaan mereka semakin jarang dilihat berinteraksi.
Laporan itu turut mendakwa beberapa mesyuarat Kabinet kebelakangan ini berlangsung lebih singkat daripada biasa selain mengaitkan ketegangan berkenaan dengan keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan.
Isu berkenaan turut dikaitkan dengan perbezaan pandangan mengenai agenda reformasi institusi selain kedudukan politik BN dan PH yang semakin jelas berbeza dalam beberapa perkembangan mutakhir.
Spekulasi mengenai hubungan kedua-duanya bagaimanapun bukan perkara baharu sebaliknya bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut mendakwa tahap kepercayaan antara Anwar dan Ahmad Zahid berada pada tahap paling rendah sejak pembentukan Kerajaan Madani.
Anwar sebelum ini menolak pandangan berkenaan manakala Ahmad Zahid pada 6 September tampil lebih tegas menafikan wujud sebarang masalah antara beliau dengan Perdana Menteri sama ada secara peribadi mahupun rasmi.
Ahmad Zahid turut menegaskan, tiada masalah antara mereka ketika mesyuarat Kabinet atau dalam majlis rasmi kerajaan, selain menyifatkan proses membuat keputusan dalam kerajaan berjalan secara profesional.
Justeru, kemunculan Anwar dan Ahmad Zahid hari ini dalam suasana begitu santai dan mesra pastinya mencuri perhatian.
Sepanjang program, kedua-duanya dilihat berbual, berbisik dan ketawa beberapa kali memperlihatkan interaksi yang jauh lebih santai berbanding gambaran hubungan mereka yang menjadi bahan spekulasi sejak beberapa hari lalu.
Apa yang dibualkan kedua-duanya tidak diketahui namun kemesraan yang ditunjukkan hari ini menambah satu lagi perkembangan menarik kepada persoalan mengenai hubungan dua pemimpin utama Kerajaan Madani itu.
Sama ada ia sekadar kemesraan dalam acara rasmi atau mencerminkan hubungan kerja sebenar mereka, gelagat Anwar dan Zahid hari ini pastinya tidak terlepas daripada perhatian pemerhati politik. – MalaysiaGazette
















