JOHOR BAHRU – Johor akan melakukan pembenihan awan sekiranya terdapat mana-mana 17 empangan di negeri ini mengalami penyusutan sebagai persediaan berdepan fenomena El Nino pada Oktober dan November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pihaknya memantau paras empangan setiap hari dan setakat ini semuanya terkawal.
“Cuma kita sedang bersedia untuk menghadapi super El Nino yang dijangka Oktober hingga Disember. kita telah pun berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk persediaan pembenihan awan.
“Mungkin kali ini kita request pembenihan awan lebih awal sebelum berlakunya kemarau. Pembenihan awan sudah dilakukan di beberapa tempat tetapi di Johor belum lagi setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Program Libat Urus Perkukuh Imej Pemandu Teksi Sempena Tahun Melawat Johior 2026 di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic) di sini hari ini.
Katanya, sehingga hari ini semua paras air di semua empangan di Johor masih berada pada tahap stabil dan ada juga pada tahap berjaga-jaga namun pemantauan terus dilakukan dari masa ke semasa.
Jelasnya, terdapat kapasiti empangan yang boleh bertahan sehingga enam bulan lagi dan hanya empangan di Gunung Pulai berada pada tahap berjaga-jaga ketika ini.
“Selalunya empangan yang berisiko seperti empangan di Macap. Ada beberapa empangan tapi macam saya kata, cuaca panas ni bukan keseluruhan di Johor.
“Dia ada pattern dia. Jadi mungkin pada tahun lepas empangan Macaplah yang paling terjejas, tapi kita jangka pada tahun ini mungkin empangan di Gunung Pulai. Sebab kita nampak ada trend… trend menurunlah dekat situ,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau, pihaknya belum memuktamadkan lagi empangan mana yang perlu diberikan tumpuan.
Katanya, selain pembenihan awan, beberapa inisiatif lagi akan dilakukan seperti mengepam air dari sumber air ke satu sumber air lain tetapi bukan dalam skala yang besar.
Pihaknya juga melakukan persediaan berdepan penyusutan paras empangan seperti yang berlaku di Machap dan juga Lok Heng pada tahun lalu.
“Untuk Lok Heng kita telah pun sedia satu pelan iaitu pelanpenyahgeraman di Lok Heng. Dan untuk Macap, kita ada tambahan pam untuk pastikan kita boleh lepaskan air lebih banyak ke sungai untuk loji rawatan air kita,” katanya.- MalaysiaGazette.
















