KUALA LUMPUR – Institusi perbankan perlu turut dipertanggungjawabkan dalam usaha menangani jenayah penipuan dalam talian (scam) termasuk memastikan sistemnya lebih ketat bagi menghalang wang mangsa daripada dipindahkan kepada penjenayah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu perlu dikaji bersama dengan cadangan mengenakan hukuman lebih berat terhadap penjenayah scam termasuk hukuman sebat.
Katanya, pihak bank sepatutnya turut bertanggungjawab mengesan dan menghalang transaksi berkaitan scam bagi mengurangkan kes penipuan serta memastikan wang mangsa tidak mudah lesap.
“Saya kalau boleh setuju (hukuman) lebih daripada sebat sebab scam ini cepat. Bank tak boleh hanya kerana orang guna akaun bank, kemudian kata atas risiko sendiri.
“Kalau begitu, baik simpan duit di bawah bantal, kan?” sindirnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Konvensyen Pendanaan Politik 2026 bertemakan ‘Reformasi Institusi: Membina Kepercayaan, Memperkukuh Demokrasi’ di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.
Terdahulu Azalina setuju dengan cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya hukuman yang jauh lebih berat termasuk hukuman sebat dikenakan terhadap penjenayah penipuan dalam talian (scammer).
Jelasnya, pelbagai usaha kesedaran sudah dilaksanakan Bank Negara Malaysia dan polis namun kes penipuan masih berlaku apabila orang ramai terus menjadi mangsa.
“Sebab bila bank pun kena sama-sama tanggungjawab, mungkin sistem yang terwujudkan itu lebih ketat. Kalau tidak, duit itu hilang, dalam berapa minit dah hilang, tak dapat balik. Bank tidak akan pulangkan balik sebab kita,” katanya.
Semalam, media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, dipetik sebagai berkata hukuman berunsur pencegahan (deterrent factor) amat kritikal bagi membendung jenayah siber yang kian berleluasa dan meragut ketenteraman masyarakat.
Menurut Mohd Khalid, hukuman yang dijatuhkan pihak kehakiman ketika ini dilihat terlalu minimum sehingga gagal menimbulkan rasa gentar dalam kalangan dalang serta ahli sindiket penipuan.-MalaysiaGazette
















