Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ustaz Ahmad Yahaya berucap pada Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Tindakan dan pendirian DAP ketika ini dilihat menjadi antara faktor yang mendorong UMNO dan Pas kembali duduk bersama dalam usaha memperkukuh perpaduan Melayu-Islam, kata Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya.

Beliau berkata, perkembangan itu perlu dilihat sebagai satu nikmat yang wajar dipelihara kerana kedua-dua parti sebelum ini sering berbeza pendekatan dalam politik.

“Terima kasih juga kepada DAP. Kalau DAP tidak mengambil sikap-sikap sekarang, mungkin Pas dan UMNO tidak boleh duduk seperti hari ini kerana tindakan-tindakan mereka menyebabkan hari ini kita boleh duduk bersama seperti ini,” katanya yang merupakan jemputan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada Multaqa Ilmuan 2.0 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Menurut Ahmad lagi, pertemuan antara kedua-dua institusi ulama itu menunjukkan usaha penyatuan umat bukan lagi sekadar dibincangkan dari sudut konsep fiqh al-awlawiyat atau keutamaan, sebaliknya sudah mula diterjemahkan melalui tindakan.

Katanya, keutamaan generasi hari ini adalah memastikan negara terus berada dalam keadaan aman dan sejahtera untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

“Generasi terdahulu berjuang untuk memerdekakan negara. Keutamaan kita pula ialah mewariskan negara yang terbaik kepada generasi akan datang,” katanya.

Ahmad berkata, keadaan politik semasa yang menyaksikan kuasa politik Melayu dan Islam dilihat berdepan cabaran tidak boleh dibiarkan sehingga menyebabkan perpecahan terus berlaku.

“Di saat kita merasakan kuasa politik orang Melayu berada dalam keadaan bahaya dan kuasa politik Islam berada dalam keadaan terancam, adakah kita boleh berdiam diri membiarkan terus perpecahan berlaku? Sudah tentu tidak,” ujarnya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan antara UMNO dan Pas tetap boleh berlaku kerana ia merupakan perkara biasa dalam politik namun perbezaan itu tidak seharusnya membawa kepada keadaan yang boleh menjejaskan kepentingan negara.

“Saya bersetuju bahawa ada perkara yang kita boleh berbeza. Ikhtilaf boleh berlaku, tetapi apakah kita mahu berbeza sampai ke peringkat menggadaikan amanah yang diletakkan Allah kepada kita?” soalnya.

Justeru Ahmad berkata, perpaduan Melayu-Islam perlu menjadi keutamaan namun ia tidak bermaksud mengenepikan atau menzalimi mana-mana kaum lain di negara ini.

“Penyatuan Melayu-Islam adalah atas asas untuk memelihara negara ini dan memastikan keadilan untuk semua. Inilah keutamaan yang dapat saya simpulkan daripada pertemuan pada hari ini,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kehadiran wakil UMNO dalam program anjuran Pas serta kehadiran wakil Pas dalam program UMNO sebagai perkembangan positif yang menunjukkan wujudnya usaha untuk merapatkan kembali hubungan antara kedua-dua parti.

Ahmad berkata, kehadiran wakil UMNO dalam Muktamar Pas baru-baru ini selain kemungkinan kehadiran wakil Pas pada Perhimpunan Agung UMNO akan datang merupakan isyarat hubungan kedua-dua parti semakin terbuka.

Peluang tersebut perlu dipelihara sebagai tanda kesyukuran kepada Allah kerana membuka ruang kepada UMNO dan Pas untuk kembali duduk bersama.

“Kita perlu memelihara nikmat ini. Tujuan kita bersyukur ialah supaya Allah menambahkan lagi nikmat dan mengekalkan nikmat yang diberikan,” tambahnya.

Beliau berharap pertemuan antara kedua-dua pihak itu dapat menghasilkan sesuatu yang besar demi kepentingan negara dan generasi akan datang.

“Keutamaan kita sekarang ialah perpaduan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here