Fazli bersama lima wakil persatuan teksi dalam Program Libat Urus Perkukuh Imej Pemandu Teksi Sempena Tahun Melawat Johior 2026 di Jotic, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan tutup sepenuhnya Jalan Jim Quee di bandar raya ini untuk kenderaan persendirian dan hanya dibuka khusus untuk pengangkutan awam serta pegawai bertugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, langkah itu bertujuan memastikan pengguna pengangkutan awam menikmati kelancaran trafik dan tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas apabila Sistem Transit Cepat (RTS) Link Bukit Chagar beroperasi kelak.

“Akses laluan di jalan berkenaan akan dihadkan kepada bas dan teksi sahaja, manakala perkhidmatan e-hailing dipindahkan ke Jalan Tun Razak.

“Kita mahu mereka yang menggunakan pengangkutan awam merasai pengalaman perjalanan yang lebih baik. Kita tidak mahu apabila rakyat disaran menggunakan pengangkutan awam, mereka tetap terperangkap dalam kesesakan.

“Sebab itu fokus utama kita di Jalan Jim Quee ini adalah khusus untuk pengangkutan awam. Kenderaan persendirian memang tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Program Libat Urus Perkukuh Imej Pemandu Teksi Sempena Tahun Melawat Johior 2026 di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic) di sini hari ini.

Mengulas mengenai pembinaan jejantas pejalan kaki (POB), Mohamad Fazli berkata, kemudahan itu akan siap secara berperingkat-peringkat dengan sebahagian besarnya dijangka siap hujung tahun ini bagi melengkapi pengoperasian RTS, manakala selebihnya siap sepenuhnya pada 2027.

POB berkenaan penting bagi membolehkan penumpang yang keluar dari Stesen RTS Bukit Chagar terus mengakses bangunan komersial bersebelahan, kawasan parkir dan premis berhampiran.

“Pihak pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan mengeluarkan video pelan penyuraian trafik serta garis masa rasmi bagi memperincikan kedudukan lokasi POB berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan tiada kemudahan parkir awam disediakan di sepanjang Jalan Jim Quee kerana kawasan tersebut hanya diperuntukkan kepada pegawai yang bertugas di CIQ.

Sebagai ganti, kerajaan negeri merancang menyediakan kawasan tempat letak kenderaan awam di lokasi luar, termasuk di kawasan hadapan hospital berdekatan yang dihubungkan menerusi perkhidmatan bas pengantara (shuttle bus) ke CIQ.

“Selain itu, kita turut mempunyai cadangan mewujudkan laluan khas bas (dedicated bus lane) di beberapa lokasi strategik bagi memastikan pergerakan bas pengangkutan awam lebih lancar dan pantas,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here