Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang. Gambar fail MOHD ADZLAN, 07 SEPTEMBER 2026.

GEORGE TOWN – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mahu memastikan teknologi yang dibangunkan dan digunakan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat termasuk mereka yang tinggal di pedalaman dan luar bandar menerusi permohonan peruntukan Belanjawan 2027.

Menterinya, Datuk Chang Lih Kang berkata, kementerian akan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi yang mampu memudahkan kehidupan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Permohonan peruntukan MOSTI bagi Belanjawan 2027 sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) namun jumlah serta perincian rangka peruntukan hanya akan diketahui selepas mendapat kelulusan.

“Kita akan memberi fokus kepada teknologi membantu rakyat yang mana boleh sampai ke kawasan pedalaman, luar bandar dan kita cuba bawa teknologi itu untuk kesejahteraan rakyat.

“Katakan (seperti) hantar orang ke angkasa, itu tidaklah. Kita lebih fokus kepada penggunaan teknologi yang boleh menyenangkan kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) Ke-9 2026 di Penang Waterfront Convention Centre di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Lih Kang berkata, penggunaan teknologi memainkan peranan penting dalam membantu pasukan penyelamat ketika mengendalikan operasi bencana, termasuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, Malaysia sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bencana dengan teknologi antara elemen yang boleh membantu pasukan penyelamat mengesan mangsa, mengenal pasti identiti serta memantau risiko bencana susulan.

Beliau berkata, teknologi angkasa turut digunakan bagi mengesan pergerakan atau perubahan di kawasan yang berpotensi berlaku tanah runtuh kedua dan ketiga.

“Penggunaan teknologi amat penting dalam membantu pasukan penyelamat mengendalikan operasi bencana termasuk mengesan mangsa, mengenal pasti identiti dan memantau risiko bencana susulan.

“Pengalaman tragedi tanah runtuh Batang Kali (Selangor) sebelum ini menyaksikan pelbagai teknologi digunakan termasuk dron, teknologi angkasa dan analisis DNA bagi membantu usaha mencari mangsa selain memastikan keselamatan pasukan penyelamat daripada kemungkinan berlaku tanah runtuh susulan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here