GEORGE TOWN – Malaysia sedang menilai potensi tenaga nuklear untuk menjadi sebahagian daripada campuran tenaga masa depan negara, termasuk dengan memperkukuh persediaan dari aspek teknologi, bakat, kawal selia dan keupayaan industri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang berkata, kerja persediaan itu penting bagi memastikan negara berada dalam keadaan bersedia sekiranya kerajaan membuat keputusan menggunakan tenaga nuklear pada masa hadapan.
“Ia bukan bermakna kita sudah buat keputusan, tetapi kita kena buat kesiapsiagaan supaya kita bersedia dari segi kawal selia dan bakat.
“Pada masa sama, kita kena memastikan industri juga bersedia dari segi persiapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) Ke-9 2026 di sini, hari ini.
Menurut Lih Kang, persediaan berkenaan turut perlu diteruskan mengambil kira peningkatan permintaan tenaga dan infrastruktur digital, khususnya susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pusat data hiperskala.
Katanya, keperluan tenaga negara perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan sektor semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi dan ekonomi digital disokong sumber tenaga yang selamat, mampu milik serta semakin mampan.
“AI tidak boleh berkembang tanpa sistem tenaga yang boleh dipercayai dan mampan, manakala daya tahan iklim bukan lagi hanya isu alam sekitar tetapi sudah menjadi satu keperluan ekonomi.
“Perkembangan AI, robotik termaju, bioteknologi dan pengkomputeran kuantum sedang mengubah ekonomi serta masyarakat.
“Sehubungan itu, kerajaan turut melaksanakan penilaian semula terhadap aspek pendidikan, pekerjaan, dasar perindustrian dan keselamatan negara,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan sektor semikonduktor, pembuatan termaju dan ekonomi digital turut mewujudkan permintaan tenaga yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Justeru, katanya, Malaysia perlu memastikan pertumbuhan berkenaan disokong keupayaan infrastruktur tenaga dan digital yang berdaya tahan kerana keselamatan tenaga tidak boleh dipisahkan daripada daya saing industri.
“Malaysia turut memperkukuh keupayaan dalam teknologi strategik dan baharu termasuk AI, bahan termaju, teknologi angkasa serta nuklear bagi memastikan negara bukan sekadar menjadi pengguna teknologi.
“Kita juga mahu meningkatkan keupayaan untuk membangunkan, mengaplikasikan dan mengkomersialkan teknologi sendiri bagi memperkukuh daya saing negara dalam jangka panjang,” katanya. – MalaysiaGazette
















