JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mengarahkan operasi besar-besaran bagi memburu dan menangkap lima anjing liar terbabit yang menyerang seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, usaha itu sedang dijalankan Pejabat Daerah Batu Pahat dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Operasi itu akan dipergiatkan untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu dengan kaedah tangkapan dipelbagaikan bagi memastikan anjing terbabit dapat dikesan dan ditangkap.
“Bukan hanya menggunakan kaedah semasa, tetapi mempelbagaikan segala kebijaksanaan, operasi pemantauan dan intipan, termasuk menggunakan sebarang kaedah yang dibenarkan undang-undang.
“Komitmen kita adalah memastikan masalah anjing liar di kawasan tersebut dapat diatasi dan kejadian sama tidak berulang kepada orang lain,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi mangsa, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi yang kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Nur Haira Wafiqah yang berusia dua tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kepalanya terkoyak dan pipinya berlubang akibat digigit sekumpulan lima ekor anjing.
Insiden mencemaskan itu disedari nenek mangsa, Darlinda Darlis, 56, yang menjerit sekuat hati meminta pertolongan sebaik melihat haiwan tersebut mengerumuni cucunya di hadapan rumah.
Mohd Fared berkata, haiwan berkenaan perlu segera ditangkap dan diperiksa bagi memastikan haiwan berkenaan bebas daripada rabies.
Mohd Fared berkata, tindakan itu penting bukan sahaja bagi menjamin keselamatan penduduk setempat, malah bagi mengurangkan kebimbangan terhadap keadaan kesihatan Nur Haira dalam jangka panjang.
Katanya, pihak hospital kini turut bimbang sama ada anjing yang menyerang kanak-kanak terbabit membawa penyakit rabies atau sebaliknya.
“Jadi ini memerlukan tangkapan segera dibuat supaya anjing liar di kawasan tersebut dapat disemak dan diperiksa.
“Jika disahkan bebas rabies, sedikit kelegaan dapat diberikan kepada pihak doktor dan ibu bapa kerana kebimbangan ini boleh menjejaskan tahap pemulihan anak ini,” katanya.
Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, sebelum kejadian berkenaan, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bersama-sama Jabatan Veterinar sudah menjalankan operasi pada 12, 26 dan 30 Ogos lalu dan berjaya menangkap 22 ekor anjing liar di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, jumlah anjing liar yang masih berkeliaran di kawasan tersebut menunjukkan usaha menangkap haiwan berkenaan perlu dipertingkatkan secara berterusan.- MalaysiaGazette
















