KUALA LUMPUR – Belum pun Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang membuka tirai esok, bahangnya sudah mula terasa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Hari ini pempamer sibuk menyiapkan reruai masing masing dan sudah ada perwakilan parti sudah mula tiba lebih awal.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati persiapan di sekitar WTC semakin rancak apabila pempamer mula melengkapkan reruai masing masing sementara petugas di beberapa lokasi sibuk memastikan kawasan berkenaan bersedia menerima kehadiran perwakilan dan pengunjung.
Walaupun keadaan ketika ini masih belum sesak dan kawasan parkir juga belum dipenuhi kenderaan, kelibat perwakilan yang tiba lebih awal sudah mula mewarnai suasana.
Sebahagian mereka dilihat mengambil kesempatan meninjau sekitar WTC termasuk ruang legar dan kawasan yang bakal menjadi tumpuan sepanjang empat hari persidangan.
Warna merah UMNO juga semakin mendominasi pandangan.
Bendera UMNO kelihatan dipasang di pelbagai sudut WTC manakala poster, kain rentang, gegantung serta ucapan selamat bersidang turut menghiasi ruang sekitar pusat dagangan itu.

Keadaan tersebut sedikit demi sedikit mengubah wajah WTC yang tenang kepada suasana sibuk seperti sinonim dengan penganjuran PAU saban tahun.
Di beberapa lokasi, petugas turut dilihat melakukan persiapan terakhir termasuk memastikan kawasan laluan, ruang pameran dan kemudahan untuk perwakilan berada dalam keadaan baik sebelum jumlah pengunjung meningkat esok.
Lebih 120 gerai jualan usahawan Bumiputera serta pameran korporat dijadualkan memeriahkan ruang legar sepanjang PAU berlangsung.
PAU 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 12 September dijangka menghimpunkan 6,401 perwakilan yang terdiri daripada 2,922 perwakilan UMNO, 1,163 Wanita, 1,171 Pemuda dan 1,145 Puteri.
Jumlah pengunjung pula dijangka melebihi 50,000 orang sepanjang empat hari perhimpunan berkenaan.
Angka itu memberikan gambaran mengenai skala PAU tahun ini, yang bukan sahaja menjadikan Dewan Merdeka sebagai tumpuan utama, malah kawasan sekitar WTC dijangka turut dipenuhi perwakilan, pengunjung, peniaga dan pempamer.

Seperti tahun tahun sebelumnya, suasana di luar dewan turut menjadi sebahagian daripada kemeriahan PAU apabila perwakilan mengambil kesempatan bertemu kenalan lama, beramah mesra dan bertukar pandangan mengenai perkembangan politik semasa.
Tumpuan utama bagaimanapun pastinya terarah kepada Dewan Merdeka apabila pimpinan dan perwakilan membincangkan hala tuju UMNO serta isu yang menjadi perhatian akar umbi.
Namun sehari sebelum persidangan bermula, WTC masih belum berada pada kemuncaknya. Parkir masih mempunyai banyak ruang dan laluan sekitar pusat dagangan itu masih boleh dilalui dengan selesa.
Esok, keadaannya dijangka berubah apabila ribuan perwakilan mula memenuhi WTC dan suasana PAU memasuki fasa sebenar.


Buat masa ini, hanya tanda tandanya yang semakin jelas. Bendera berkibar, ucapan selamat bersidang menghiasi ruang dan perwakilan mula berdatangan.
PAU 2026 belum bermula tetapi bahangnya sudah terasa di WTC. – MalaysiaGazette
















