KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gabungan Ummah Malaysia (UMMAH) mengingatkan ganjaran syurga adalah hak mutlak Allah dan tidak boleh dijamin oleh mana-mana individu, parti politik atau pertubuhan kepada penyokongnya.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, kenyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa sokongan terhadap perjuangan Islam yang dibawa Pas selagi bertepatan dengan al-Quran dan sunnah akan mendapat ganjaran syurga perlu dilihat dalam konteks yang sebenar dan tidak dimanipulasikan.
“UMMAH mengambil maklum kenyataan tersebut dan berpandangan ia adalah satu kenyataan yang jelas serta tidak mempunyai kesalahan sekiranya perjuangan yang dimaksudkan bertepatan dengan al-Quran dan sunnah.
“Bagaimanapun, ganjaran syurga adalah hak mutlak Allah. Tiada individu, parti politik mahupun pertubuhan yang boleh menjamin syurga kepada mana-mana penyokong,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, perjuangan menegakkan syariat Islam, memartabatkan al-Quran dan sunnah serta mempertahankan kepentingan umat Islam sememangnya merupakan tuntutan agama yang mempunyai ganjaran besar di sisi Allah.
Sehubungan itu, UMMAH menyeru semua pihak yang memperjuangkan Islam, sama ada parti politik, pertubuhan dakwah mahupun individu, supaya mengelakkan ucapan, komen atau ulasan yang boleh disalah tafsir sebagai usaha ‘menjual’ atau ‘menunggang’ agama demi kepentingan tertentu.
“Fokus perlu diberikan kepada usaha menyatukan ummah dan bukannya memperbesar titik perpecahan. Perjuangan Islam adalah milik semua dan bukan eksklusif kepada mana-mana pihak tertentu,” katanya.
Dalam masa sama, UMMAH mengajak umat Islam supaya terus menyokong mana-mana usaha yang benar-benar memperjuangkan Islam tanpa mengira parti, pertubuhan atau individu.
Katanya, sokongan berkenaan perlu didasari ilmu, kefahaman dan keikhlasan kerana Allah bukan kerana janji dunia atau kepentingan tertentu.
UMMAH turut berharap tiada pihak mengambil kesempatan untuk mempolemikkan kenyataan Takiyuddin sehingga mengelirukan umat Islam di negara ini demi kepentingan politik pihak tertentu. – MalaysiaGazette
















