Pemandangan bangunan pencakar langit di ibu kota yang dicemari jerebu berikutan insiden kebakaran hutan di Kalimantan, ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 OGOS 2026.

 

KUALA LUMPUR – Empat kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat jam 3 petang hari ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan kawasan berkenaan ialah Kuching dengan bacaan IPU 261, diikuti IPD Serian (254), Sri Aman (234) dan Samarahan (231).

Menurut JAS, sebanyak 24 kawasan lain turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, manakala 36 kawasan berada pada tahap sederhana dan tiga kawasan mencatatkan kualiti udara baik.

Antara kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Shah Alam (163), Batu Muda, Kuala Lumpur (163), Johan Setia, Selangor (165), Nilai, Negeri Sembilan (159), Tasek Ipoh (159), Cheras (159), Banting (159) dan Mukah, Sarawak (185).

Menurutnya, keadaan itu berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian rantau selatan ASEAN.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 7 September, sebanyak 109 titik panas dikesan di Kalimantan, 119 di Sumatera dan enam di Malaysia, termasuk empat di Pahang serta satu di Terengganu.

ASMC turut melaporkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal meliputi bahagian barat laut Borneo, selain kepulan asap daripada kelompok titik panas di banyak kawasan di Kalimantan, timur Jawa serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.

Jerebu sederhana turut diperhatikan di bahagian barat Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, JAS memberi perhatian khusus terhadap kejadian kebakaran di beberapa kawasan di Sarawak, terutama tanah gambut dan tapak pelupusan sampah yang berisiko terbakar dalam keadaan cuaca panas dan kering.

JAS memaklumkan, kebakaran di Jalan Sibujaya Barat, Mukah telah dipadamkan sepenuhnya.

Bagaimanapun, kebakaran di Kampung Kut, Daro yang melibatkan kawasan seluas lapan hektar masih berbaki 0.2 hektar untuk dipadamkan, manakala di Sungai Nai, Daro, daripada 4.5 hektar kawasan terbakar, 1.5 hektar juga dalam tindakan pemadaman.

Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei pula melibatkan kawasan seluas 0.6 hektar dengan baki 0.4 hektar masih dalam tindakan pemadaman.

Di Johor, kebakaran kawasan hutan paya gambut sekitar Tanah Perkuburan Cina Bukit Pelali dan Jalan Bypass Sebana Cove–Punggai, Pengerang dianggarkan melibatkan kawasan seluas 17 hektar.

Daripada jumlah itu, kira-kira 1.7 hektar telah berjaya dipadamkan, manakala keadaan kebakaran dilaporkan bertompok-tompok dengan tiupan angin kuat serta keadaan hutan yang menyukarkan operasi pemadaman.

JAS Johor akan terus memantau perkembangan kebakaran berkenaan, khususnya dari aspek potensi kesannya terhadap kualiti udara.

JAS berkata, pemantauan terhadap bacaan IPU, titik panas dan perkembangan jerebu rentas sempadan akan diteruskan dengan mengambil kira maklumat meteorologi bagi membantu penilaian situasi serta penyelarasan tindakan pengurusan jerebu di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Pada masa sama, JAS menegaskan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap aktiviti pembakaran terbuka dan kejadian kebakaran yang berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

JAS turut menyeru kerjasama pihak industri untuk mengurangkan pelepasan udara daripada punca utama, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300, bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap kualiti udara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here