KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menghentikan sementara penggunaan semua helikopter model sama dengan pesawat yang terlibat dalam nahas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak sehingga punca sebenar kejadian dikenal pasti dan tahap keselamatannya disahkan pihak berkuasa.
Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran berkata, langkah itu perlu diambil segera bagi memastikan keselamatan doktor, jururawat, pegawai KKM dan juruterbang yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Ini terutama apabila kebimbangan mula dirasai petugas yang perlu menaiki helikopter model sama.
Lingeshwaran, yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Hospital Sungai Bakap, berkata keselamatan petugas KKM tidak boleh dikompromi hanya kerana perkhidmatan FDS perlu diteruskan.
“Penggunaan semua helikopter daripada model yang sama dengan pesawat yang terlibat dalam tragedi nahas FDS di Sarawak wajar dihentikan serta-merta secara sementara sehingga punca sebenar kejadian dikenal pasti dan disahkan oleh pihak berkuasa.
“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan doktor, jururawat, pegawai KKM, juruterbang serta masyarakat di kawasan pedalaman yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan ini sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebimbangan petugas yang perlu menggunakan helikopter berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana mereka menjalankan tugas untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
Katanya, tindakan menghentikan sementara penggunaan helikopter model sama bukan bermaksud membuat kesimpulan awal mengenai punca nahas, sebaliknya langkah berjaga-jaga sehingga siasatan selesai.
“Jangan tunggu tragedi kedua berlaku baru kita mahu mengambil tindakan. Keselamatan petugas KKM dan rakyat mesti menjadi keutamaan,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan menjalankan pemeriksaan dan siasatan menyeluruh terhadap kejadian berkenaan, termasuk aspek keselamatan pesawat yang digunakan dalam operasi FDS.
Menurutnya, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan perlu mengenal pasti punca dan faktor yang menyumbang kepada nahas, manakala Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) perlu memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan penerbangan diberi perhatian serius.
Beliau berkata, meskipun operasi FDS dijalankan syarikat swasta menerusi kontrak kerajaan, tanggungjawab kerajaan untuk memastikan pesawat yang digunakan memenuhi tahap keselamatan tertinggi tidak boleh dilepaskan.
“Kerajaan mempunyai obligasi untuk memastikan mana-mana syarikat kontraktor menggunakan pesawat yang mematuhi piawaian keselamatan dan penerbangan tertinggi,” katanya.
Lingeshwaran turut membangkitkan persoalan mengenai sejarah pesawat yang terlibat dalam nahas, iaitu helikopter BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF.
Berdasarkan maklumat penerbangan yang dinyatakan, pesawat itu bukan pesawat baharu, sebaliknya pesawat terpakai yang telah melalui proses baik pulih atau pengubahsuaian.
Pesawat berkenaan dibina sekitar 1991 di Jerman dengan nombor siri S-867 dan pernah berkhidmat di bawah beberapa pendaftaran luar negara termasuk Jerman, Amerika Syarikat dan Afrika Selatan sebelum digunakan di Malaysia.
Katanya, sejarah penggunaan pesawat berkenaan juga perlu diteliti sebagai sebahagian daripada siasatan bagi memastikan semua aspek berkaitan keadaan pesawat, penyelenggaraan dan rekod operasinya diperiksa.
“Buat sementara waktu, jangan dedahkan lagi petugas kepada kebimbangan dan risiko yang belum diketahui puncanya. Hentikan penggunaan model sama sehingga siasatan selesai dan tahap keselamatannya dapat disahkan,” katanya.
Nahas helikopter FDS itu berlaku berhampiran STOLport Long Lellang pada petang Selasa ketika pesawat berkenaan menjalankan penerbangan membawa seorang juruterbang dan empat petugas kesihatan KKM.
Empat petugas berkenaan terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat.
Kesemua lima individu yang berada dalam helikopter berkenaan disahkan terkorban dalam nahas tersebut.
Helikopter BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu dikendalikan bagi operasi FDS yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak yang sukar diakses melalui jalan darat. -MalaysiaGazette
Juruterbang, empat petugas KKM disahkan maut dalam nahas helikopter – Residen Miri














