Gambar IPD Rompin

ROMPIN – Dua pekerja kedai cuci kereta maut selepas kenderaan dinaiki terbabas melanggar sebatang pokok di kilometer 134, Jalan Kuantan-Johor Bahru, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 8.15 malam.

“Ketika kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.30 malam, kereta jenis Proton Iswara dinaiki tiga individu dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Kuantan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu telah hilang kawalan dah terlanggar sebuah pokok di bahu jalan sebelah kiri menghala ke Kuantan,” katanya dalam kenyataan.

Sharif Shai berkata, akibat dari kemalangan tersebut, penumpang belakang kereta bernama Vijayan A/L Palanikumaar, 17 dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala pemandu kereta iaitu anak saudaranya bernama Vijay A/L Ramasamy, 27 meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

Sementara itu, katanya seorang lagi penumpang hadapan yang merupakan sepupu kepada Vijay dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang dilaporkan tidak mempunyai lesen memandu,” katanya lagi.

Menurut Sharif Shai, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here