GEORGE TOWN – ASEAN+3 Young Entrepreneurs Summit – Foodtech & Trade Expo 2027 berpotensi mendapat sokongan Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong selepas menerima penerangan daripada Dewan Usahawan Progresif Malaysia (MPE).
Presiden Nasional MPE, William Khoo berkata, pihak Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong memaklumkan perkara itu akan dibincangkan secara dalaman bersama ibu pejabatnya.
Bagaimanapun, katanya, sebarang bentuk sokongan masih tertakluk kepada perbincangan dalaman dan komunikasi susulan.
“Perkara itu dibincangkan ketika kunjungan hormat delegasi MPE ke Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong pada Isnin lalu.
“Kami amat menghargai sambutan mesra yang diberikan. Kunjungan ini membolehkan kedua-dua pihak lebih memahami peranan masing-masing dan menjadi satu permulaan yang baik untuk terus berhubung,” katanya dalam kenyataan di sini.
Delegasi MPE diketuai William bersama Penasihat Kehormat, Datuk Dr Lim Beng Suat dan Naib Presiden Kebangsaan, Lim Lip Sing.
Pertemuan itu turut menyaksikan pertukaran pandangan secara umum mengenai ekonomi Malaysia, perkembangan ekonomi Pulau Pinang dan persekitaran perniagaan. – MalaysiaGazette
















