KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunerasi RM690,000 setahun serta kemudahan sebuah kereta BMW 7 Series dan pemandu tetap.
Abdul Azeez, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM450,000 dengan dua orang penjamin warganegara tempatan.
Bagaimanapun, bekas ahli Parlimen Baling itu perlu melapor diri setiap tiga bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur serta perlu membuat serahan dokumen pada 11 November ini.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon jaminan RM1 juta dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah, namun permohonan itu dibantah peguamnya, Datuk Amer Arsyad yang memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan.
Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez yang ketika itu merupakan pegawai badan awam selaku Pengerusi TH didakwa menggunakan kedudukannya berhubung cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad pada 2014.
Beliau didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada 25 Ogos 2014 di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 38, Bangunan Tabung Haji, 201 Jalan Tun Razak, di sini.
Abdul Azeez didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif TH ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail supaya mencadangkan dirinya sebagai wakil TH dalam Putrajaya Perdana Berhad.
Beliau juga didakwa meyakinkan ahli-ahli Lembaga TH ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah TH Bil. 4/2014 (309) supaya bersetuju meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta, bersamaan sehingga 30 peratus daripada modal saham terbitan sedia ada Putrajaya Perdana Berhad.
Menurut pertuduhan, Abdul Azeez mempunyai kepentingan dalam perkara berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan, sekiranya suapan itu boleh dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chi How, manakala Abdul Azeez diwakili Datuk Amer Arsyad.
Abdul Azeez yang hadir dengan memakai baju lokap berwarna ungu menghadap prosiding berkenaan selepas ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman petang semalam.
Sebelum menghadapi pertuduhan rasuah pagi ini, beliau terlebih dahulu dibawa ke Mahkamah Sesyen Majistret bagi menjalani prosiding reman berasingan susulan penahanan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN
Peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat sebelum ini berkata, Abdul Azeez ditahan JSJK Bukit Aman sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.
Penahanan itu merupakan perkembangan berasingan daripada siasatan SPRM berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Azeez sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 27 Ogos hingga 2 September lalu bagi membantu siasatan susulan pendedahan dalam laporan RCI berkenaan.
Beliau ketika itu direman bersama seorang bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membantu siasatan.
Kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















