Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad diiringi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab (kiri) bercakap pada sidang media berkenaan Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara KKM terhempas di Sarawak semalam ketika di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 09 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengemukakan cadangan berkaitan elaun petugas perkhidmatan doktor udara (FDS) kepada pihak berwajib sejak November tahun lalu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Tegas beliau, perkara itu antara aspek kebajikan petugas yang diberi perhatian oleh KKM, termasuk memastikan staf menerima elaun yang sewajarnya atas tugas dilaksanakan.

Menurutnya, KKM memahami dakwaan berhubung elaun RM30 yang diterima petugas FDS dan sudah mengambil langkah lebih awal dengan membawa perkara itu kepada pihak berwajib.

“Antara cadangan yang kami angkat adalah elaun Flying Doctors yang telah pun kita angkat penghujung tahun lalu, secara tepatnya bulan November 2025.

“Kami yakin akan dapat satu respons positif daripada pihak yang berwajib, daripada pihak berkenaan.

“Maka, ya, kita tahu kita perlu memberikan yang sewajarnya. Sebab itu kami telah mengangkat isu elaun ini awal lagi,” katanya dalam sidang media berhubung insiden nahas helikopter FDS di Miri, Sarawak semalam.

Dr Dzulkefly berkata, KKM akan memaklumkan perkembangan berhubung cadangan berkenaan sebaik sahaja pihaknya menerima keputusan rasmi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek keselamatan petugas FDS tidak akan dikompromi, termasuk dari segi penggunaan dan penyelenggaraan helikopter yang disediakan melalui perkhidmatan kontrak.

“Hal yang terkait dengan teknikal, hal terkait dengan keselamatan itu tidak dikompromi sama sekali.

“Kita pastinya mahu keselamatan dan standard di tahap yang terbaik,” katanya.

Untuk rekod, FDS yang telah beroperasi sejak 1970-an merupakan perkhidmatan penting bagi menyediakan akses kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman, khususnya di Sarawak.

KKM tidak memiliki aset helikopter sendiri untuk perkhidmatan berkenaan, sebaliknya menggunakan pendekatan sewaan atau kontrak bagi menyediakan pengangkutan udara tersebut.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here