Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang digesa mendedahkan laporan penilaian bebas, perjanjian pertukaran tanah, laporan audit kewangan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) serta syarat perkongsian hasil sebelum lelongan tanah enam ekar di Tanjung Tokong pada 7 Oktober ini.

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, gesaan itu dibuat bagi memastikan urusan penjualan tanah berkenaan, termasuk aliran kewangan membabitkan projek berkenaan, dapat dijelaskan secara telus kepada rakyat.

Katanya, Projek Jalan Pintasan Ayer Itam-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (Pakej 2) pada asalnya diperkenalkan menerusi kaedah pertukaran tanah yang kononnya tidak memerlukan kerajaan negeri mengeluarkan wang tunai.

“Dalam keadaan ini, kerajaan negeri pula memilih untuk melelong tanah seluas enam ekar yang bernilai tinggi dan menghadap laut di Tanjung Tokong.

“Adakah kerajaan negeri sekadar menjual tanah, atau sedang mengumpul dana bagi menampung kekurangan dana untuk projek ini?” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut Tong Keong, persoalan timbul apabila kemajuan projek telah mencapai 92.46 peratus, sedangkan tuntutan kewangan hanya 81.69 peratus, sementara bayaran tanah bernilai RM225.77 juta masih belum diselesaikan.

Katanya, tanah berkenaan mempunyai harga rizab RM313.6 juta atau RM1,200 bagi setiap kaki persegi.

“Sekiranya tanah itu berjaya dijual pada harga RM313.6 juta, terdapat perbezaan melebihi RM85 juta berbanding nilai tanah RM225.77 juta yang melibatkan kontraktor.

“Kerajaan negeri perlu menjelaskan bagaimana perbezaan tersebut dikira, pihak yang akan menerimanya, serta sama ada kerajaan negeri dan CZC akan berkongsi hasil berkenaan berdasarkan syarat kontrak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Tong Keong turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menjual tanah itu ketika kerja pembinaan sudah lebih 90 peratus siap, sedangkan tarikh siap projek masih ditetapkan pada April 2027.

“Tanah di Pulau Pinang ialah aset awam milik rakyat dan bukannya “mesin ATM” untuk kerajaan menyelesaikan masalah pembiayaan projek.

“Justeru kita turut menggesa Jabatan Audit Negara menyiasat keseluruhan urusan pertukaran tanah dan kaedah pembiayaan projek berkenaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Tanah enam ekar dilelong bantu siapkan projek Ayer Itam – LCE

Media pada Isnin lalu melaporkan, tanah seluas enam ekar di Tanjung Tokong dengan harga rizab RM313.632 juta akan dilelong pada 7 Oktober ini bagi membantu mendapatkan aliran tunai untuk menyiapkan projek Ayer Itam-LCE yang kini mencapai 92.46 peratus kemajuan fizikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here