Ab Rahaman menunjukkan antara barang dan peralatan yang dirampas selepas menahan tiga lelaki, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kumpulan penjenayah yang dipercayai menyasarkan kenderaan diparkir di lokasi terpencil dan jauh daripada pandangan orang ramai, terutama kenderaan bernombor pendaftaran Singapura, tumpas selepas tiga lelaki ditahan polis.

Kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah kenderaan di kawasan peranginan dan rekreasi di Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 36 tahun ditahan di sekitar Masai dan Majidee pada kelmarin dan semalam.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit dalam tujuh kes pecah kereta dan melarikan barangan berharga di tiga pusat peranginan dan rekreasi di Kota Tinggi, Ahad lalu.

“Daripada tujuh kenderaan yang menjadi mangsa, empat adalah milik warganegara Singapura manakala tiga lagi milik warga tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya kumpulan berkenaan menyasarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan terpencil dan jauh daripada pandangan orang ramai bagi memudahkan mereka melakukan jenayah.

Katanya, hasil penahanan suspek, polis merampas antaranya sebuah kereta, tiga telefon bimbit, dua unit kunci alat kawalan jauh, sebuah spanar dan sebuah pemutar skru.

Antara peralatan pecah kenderaan yang dirampas pihak polis selepas menahan tiga lelaki.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing turut didapati positif dadah jenis Methampetamine.

Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Jumaat ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Sementara itu, Ab Rahaman memberi jaminan tahap keselamatan di negeri ini, termasuk di lokasi pelancongan, masih berada pada tahap baik dan selamat dikunjungi.

Beliau turut memberi jaminan pihak polis akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Terdahulu, media melaporkan tiga kenderaan bernombor pendaftaran Singapura didakwa dipecah masuk di kawasan parkir sebuah taman tema air di Desaru, Ahad lalu.

Kejadian tersebut tular dalam media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Menurut seorang pengunjung, Syafiq Maselan yang berkongsi kejadian itu dalam Facebook MY SG Road Trip, mangsa dipercayai menjadi sasaran kerana meninggalkan beg dalam kenderaan.

Sementara itu, Adventure Waterpark Desaru Coast dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak pengurusan sudah mengambil langkah segera untuk memperkukuh keselamatan susulan insiden berkenaan. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here