KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU 2026) sebagai ruang penting untuk seluruh keluarga parti kembali berhimpun, menyatukan fikrah serta memperkukuh kekuatan UMNO.
Presiden UMNO itu turut meluahkan rasa gembira melihat Dewan Merdeka dipenuhi para perwakilan yang hadir membawa suara serta amanah akar umbi dari seluruh negara.
“Syukur Alhamdulillah, hati saya cukup gembira melihat setiap aras dan pelosok Dewan Merdeka dipenuhi lautan merah.
“Selamat datang saya ucapkan kepada seluruh perwakilan yang telah datang dari jauh dan dekat membawa bersama suara serta amanah akar umbi ke Rumah Bangsa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial miliknya bersempena hari pertama PAU 2026 yang menyaksikan barisan kepimpinan parti bersama para perwakilan UMNO dari seluruh negara berkumpul di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Ahmad Zahid turut berharap amanat yang disampaikan pada perhimpunan tersebut dapat menjadi panduan kepada seluruh ahli parti untuk melihat ke hadapan dengan lebih jelas dan yakin.
Kata beliau, PAU 2026 perlu dimanfaatkan sebagai medan untuk seluruh warga UMNO terus memperkukuh kesatuan dan merapatkan saf perjuangan.
“Jadikanlah perhimpunan ini ruang untuk kita terus menyatukan fikrah, merapatkan saf dan memperkukuh kekuatan parti,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid menyeru para perwakilan agar menggunakan ruang perhimpunan untuk berbincang, berbahas dan menyampaikan pandangan dengan sebaik-baiknya demi kepentingan parti dan perjuangan UMNO.
Beliau turut menegaskan bahawa Rumah Bangsa adalah milik seluruh keluarga UMNO dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan perjuangan parti terus dipelihara serta diperkukuh.
“Rumah Bangsa ini milik kita dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus menjaganya, memperkukuhkannya dan mewariskan perjuangannya kepada generasi seterusnya,” katanya. – MalaysiaGazette

















