Ketua Menteri Melaka yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hadir pada Perasmian Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – “Berpakat biar elok-elok, berunding jangan selisih” – itu pesan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

Mohamad berkata, Ab Rauf selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka perlu memastikan sebarang rundingan dan keputusan dibuat secara muafakat bagi mengelakkan perselisihan yang boleh menjejaskan kekuatan parti ketika menghadapi pilihan raya negeri itu. 

“Buat elok-elok, pakat elok-elok, muafakat biar bulat runding jangan selisih.

“Faham tak? Bila berunding jangan selisih, muafakat biar elok-elok,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.

Pesanan itu disambut hilai tawa Ab Rauf dan para perwakilan yang hadir mendengar ucapan tersebut.

 

 

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan diiringi ketua-ketua sayap UMNO hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2026.

Pesanan itu dibuat Mohamad ketika BN belum memutuskan sebarang kerjasama rasmi dengan Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH) sempena PRN negeri itu yang diramal tidak lama lagi.

Mohamad turut menyeru seluruh perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO supaya turun beramai-ramai ke Melaka bagi membantu rakan seperjuangan menghadapi PRN berkenaan.

“Saya seru semua perwakilan wanita, Pemuda dan Puteri yang hadir dalam perhimpunan mari kita turun ramai-ramai ke Melaka untuk bantu rakan seperjuangan kita.

“Melaka akan adakan PRN bila-bila masa, terpulang kepada Datuk Seri Abd Rauf, jangan tunggu lama-lama nanti diambil orang,” katanya.

Mohamad berkata, UMNO seluruh negara sudah bersedia untuk membantu jentera parti di Melaka sekiranya pilihan raya negeri itu diadakan.

“Datuk Rauf kami sudah bersedia dan akan datang bantu Melaka dari UMNO seluruh negara,” katanya.

Sebahagian perwakilan Puteri UMNO hadir mengibarkan bendera UMNO pada Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2026.

 

Menurutnya, kekuatan UMNO dan BN tidak hanya bergantung kepada prestasi calon, sebaliknya memerlukan kesepaduan dan kerjasama seluruh jentera parti.

Beliau berkata, sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan melalui rundingan dan muafakat, bukannya menjadi punca kepada perpecahan ketika parti berdepan pilihan raya.

Dalam pada itu, Mohamad menyeru UMNO dan BN mengekalkan momentum kejayaan di beberapa negeri serta membawa semangat dan ‘gelombang biru’ ke Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya suka mengusik Datuk Rauf, semoga UMNO dan Barisan Nasional akan dapat mengekalkan momentum kejayaan di peringkat negeri-negeri ini dan terus membawa semangat dan gelombang biru ke Pilihan Raya Umum yang ke-14 nanti, insya-Allah.

“Boleh jadi, ya? Tolong bantu. Saya akan berkampung membantu kalau badan saya sihat. Insya-Allah sihat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here