BALIK PULAU – Empat warga China termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Singapura bagi mendapatkan wang tebusan, pada Julai lalu.
Tertuduh, Guan Siqi, 24, wanita; Wang Huo Yu, 33; Huang Jian, 39; dan Liu Tingjun, 46, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama dua individu masih bebas dan dua individu yang telah meninggal dunia bertindak dengan niat bersama menculik dan melarikan secara salah seorang lelaki warga Singapura, Quek Aik Teng, 72, untuk mendapatkan wang tebusan SG$1 juta daripada mangsa.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 4.15 petang di Lapangan Terbang Antrabangsa Pulau Pinang dalam daerah Barat Daya pada 26 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta dikenakan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly, manakala tertuduh pertama hingga ketiga diwakili peguam Azizul Hilmi Zulkifli dan tertuduh Liu Tingjun diwakili peguam Edward Ng Kee Way.
Ketika prosiding, pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh berikutan kesalahan yang dihadapi merupakan kesalahan serius serta mengambil kira kepentingan awam.
Pendakwaan turut memaklumkan pihak Imigresen sedang membuat semakan terhadap pasport milik semua tertuduh.
Bagaimanapun, Edward dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan pada jumlah munasabah dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan.
“Selain itu, seorang saudara kepada tertuduh berkahwin dengan wanita tempatan dan bersedia menjadi penjamin, Malah Yang Arif, anak guam saya juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.
Sementara itu, Azizul berkata, pihaknya mengakui pertuduhan mengikut Akta Culik merupakan kesalahan serius, namun memohon pertimbangan dan budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan terhadap anak guamnya.
“Kesemua anak guam saya bersedia menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri kepada pihak berkuasa serta tidak mengganggu saksi atau mangsa pendakwaan sekiranya dibenarkan ikat jamin.
“Sehubungan itu, saya memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang munasabah terhadap kesemua anak guam saya,” katanya.
Hakim kemudian tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 15 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media pada 10 Ogos lalu melaporkan Polis Diraja Malaysia berjaya membongkar sindiket penculikan antarabangsa yang menyasarkan warga asing melalui aplikasi temu janji dan tawaran kerja palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, dalam operasi itu pihaknya berjaya menyelamatkan seorang pesara konsultan warga Singapura berusia 72 tahun yang diculik selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 26 Julai lalu.
Katanya, mangsa telah terpedaya dengan iklan tawaran pekerjaan sebagai konsultan di Malaysia dengan tawaran gaji yang lumayan.
“Pihak sindiket menghubungi keluarga mangsa di Singapura dan menuntut wang tebusan sebanyak SG$1 juta (RM3.2 juta) selain video yang menunjukkan mangsa mengalami kecederaan fizikal bagi menakut-nakutkan mereka.
“Bertindak atas laporan, sepasukan polis melancarkan serbuan pada awal Ogos di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah. Dalam serbuan itu, berlaku insiden berbalas tembakan yang mengakibatkan dua suspek penjenayah maut ditembak, manakala mangsa warga Singapura tersebut berjaya diselamatkan.
“Susulan itu, polis turut menahan enam lagi suspek dalam operasi berasingan yang dijalankan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961,” katanya. – MalaysiaGazette
















