KUANTAN – Inisiatif Felda memberi kuasa kepada Pengarah Wilayahnya bagi tujuan pengesahan dan kelulusan surat sokongan kemasukan bekalan utiliti bagi rumah generasi baharu disambut baik kerajaan negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu penting bagi membantu menyelesaikan isu yang telah sekian lama dihadapi sebahagian peneroka dan generasi baharu terutama mereka yang telah membina serta menduduki rumah tetapi masih berdepan kekangan dalam mendapatkan bekalan elektrik dan air.
“Saya menghargai dan menyambut baik usaha Felda dalam memperkemas proses pengesahan serta permohonan bekalan utiliti bagi rumah generasi baharu Felda khususnya melibatkan Rumah Kedua 1 Lot.
“Saya difahamkan Felda telah mengadakan perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mencari kaedah terbaik untuk memudahkan proses kemasukan bekalan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, langkah itu dilihat sebagai satu perkembangan yang positif kerana ia dapat mempercepat urusan rakyat serta mengurangkan kerenah birokrasi khususnya bagi permohonan yang telah memenuhi segala syarat dan mendapat kelulusan sewajarnya.
Pada masa yang sama, Wan Rosdy berharap kerjasama antara Felda, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi utiliti dapat terus diperkukuh supaya setiap permohonan yang layak dapat diproses dengan lebih cepat, teratur dan telus.
“Apa yang paling penting, keperluan asas rakyat seperti bekalan elektrik dan air mesti diberikan keutamaan. Kita mahu setiap permasalahan diselesaikan melalui pendekatan yang konstruktif, mengikut peraturan dan bidang kuasa masing-masing, tanpa menjejaskan kepentingan rakyat,” jelasnya.
Tambah Wan Rosdy, kerajaan negeri akan terus memberikan kerjasama dan sokongan bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan peneroka dan generasi baharu Felda sentiasa terbela. – MalaysiaGazette
















