KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memperkenalkan satu portal baharu bagi mengendalikan agihan saham peruntukan 12.5 peratus Syarikat Awam Tersenarai (PLC) atau Tawaran Awam Permulaan (IPO) khusus untuk pelabur Bumiputera secara digital.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengenalan portal baharu itu bagi menggantikan kaedah permohonan secara manual yang diguna pakai sebelum ini sekali gus meningkatkan kecekapan, ketelusan dan tadbir urus proses berkenaan.
Menurutnya, syarikat dan pelabur Bumiputera selepas ini tidak perlu lagi hadir secara fizikal ke pejabat kementerian sebaliknya hanya perlu mendaftar masuk secara dalam talian.
“Sebelum ini polisi ini sudah lama wujud, cuma ia dilaksanakan secara manual. Dengan sistem baharu ini, mereka tidak perlu lagi menggunakan kaedah manual sebaliknya boleh log masuk dan mendaftarkan syarikat.
“Apabila mana-mana IPO mahu membuat agihan peruntukan 12.5 peratus untuk diedarkan kepada pelabur awam, sistem ini akan mengendalikannya secara automatik,” katanya selepas merasmikan majlis prapelancaran portal berkenaan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Johari yang juga Naib Presiden UMNO itu berkata, sistem terbaharu itu berupaya mengelakkan sebarang manipulasi atau pintasan maklumat oleh pihak tertentu.
“Maknanya, tiada sesiapa yang boleh memotong barisan atau mengubah apa-apa maklumat yang sudah dihantar. Setiap pemohon akan mengetahui secara tepat jumlah yang mereka peroleh, sama ada satu lot, 1,000 unit saham atau 2,000 unit saham.
“Semua keputusan itu ditentukan sepenuhnya oleh sistem yang kita perkenalkan ini,” katanya.
Tambah beliau, sehingga kini terdapat kira-kira 79,000 pendaftaran di bawah MITI yang merangkumi pelbagai kategori termasuk yayasan, koperasi, syarikat berstatus Bumiputera serta pelabur individu Bumiputera yang memohon IPO.
“Jadi mereka hanya perlu log masuk ke dalam sistem dan tunggu jawapan dengan menyemak keputusan menerusi sistem berkenaan.
“Portal baharu berkenaan dijadualkan bakal dilancarkan secara rasmi pada 18 September ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















