Ahmad Irfan Md Azwan menerima Anugerah Ketua Pengarah POLYCC Peringkat Zon Selatan daripada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim pada Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Selatan 2026 di Politeknik Port Dickson.

MELAKA – Graduan Sijil Landskap Kolej Komuniti Selandar (KKSL), Ahmad Irfan Md Azwan, 22, mengharumkan nama institusi itu apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Peringkat Zon Selatan 2026.

Anugerah berprestij itu disampaikan sempena Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Selatan 2026 Sidang Pertama yang berlangsung di Dewan Wawasan, Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.

Pengarah KKSL, Rozali Ibrahim berkata, kejayaan itu membuktikan graduan kolej komuniti bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah mampu menyerlah dalam aspek kepimpinan, sahsiah, kompetensi dan keterampilan diri.

Menurut beliau, Ahmad Irfan pernah diberikan kepercayaan untuk menerajui Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) KKSL sebagai Yang Dipertua ketika mengikuti pengajian di institusi berkenaan.

Ahmad Irfan Md Azwan

“Pencapaian ini membuktikan bahawa graduan KKSL bukan sahaja berkemahiran dalam bidang teknikal, malah memiliki ciri kepimpinan dan sahsiah yang diperlukan untuk menjadi graduan holistik.

“Kejayaan Ahmad Irfan juga mencerminkan keberkesanan usaha KKSL dalam melahirkan graduan berkualiti, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Rozali berkata, kejayaan itu merupakan hasil komitmen dan kesungguhan Ahmad Irfan selain bimbingan berterusan para pensyarah serta sokongan padu pihak pengurusan KKSL.

Menurutnya, pencapaian berkenaan diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada seluruh pelajar KKSL untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik, kemahiran, kepimpinan dan pembangunan sahsiah.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahmad Irfan. Semoga kejayaan ini menjadi titik permulaan untuk beliau melakar lebih banyak kecemerlangan pada masa hadapan serta terus mengharumkan nama KKSL,” katanya.

Konvokesyen POLYCC kali ke-31 itu meraikan seramai 7,770 graduan daripada lapan politeknik dan 25 kolej komuniti di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Majlis konvokesyen tersebut berlangsung selama 11 hari bermula 5 hingga 15 September 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here