Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berbaju lokap Polis dan bergari sambil dikawal ketat oleh anggota Polis dan SPRM selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan ikat jamin sebanyak RM450,000 atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan jawatan di sebuah syarikat dan manfaatnya serta meyakinkan Ahli Lembaga TH membuat pelaburan RM193.5 juta di syarikat sama ketika Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 09 SEPTEMBER 2026. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka dibebaskan petang ini, selepas tempoh remannya tidak disambung, kata peguam yang mewakilinya Datuk Amer Hamzah Arshad.

Beliau berkata permohonan polis untuk melanjutkan tempoh reman Abdul Azeez selama tiga hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah ditolak dan bekas Ahli Parlimen Baling itu dijangka dibebaskan sebelum 5 petang ini, sebaik sahaja tempoh reman terdahulu tamat.

“Pihak kami telah membantah keras permohonan lanjutan reman tersebut, atas alasan anak guam kami sentiasa bersedia dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis pada bila-bila masa, sekiranya diperlukan.

“Siasatan masih boleh diteruskan tanpa perlu menahan reman anak guam kami. Sekiranya pihak berkuasa memerlukan keterangan lanjut, beliau sedia hadir ke Bukit Aman pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Abdul Azeez dan dua bekas pegawai TH sebelum ini direman dua hari, bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan pemberian hibah TH.

Mengulas mengenai pakaian lokap dan gari yang dipakainya ketika dihadapkan bagi pertuduhan berkaitan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Amer Hamzah berkata Abdul Azeez ketika itu berada di bawah tahanan dan jagaan polis bagi prosiding reman berkenaan.

“Anak guam kami hanya mengikut arahan dan SOP yang ditetapkan oleh pihak polis. Oleh itu, tidak timbul isu wujudnya sebarang pilihan pakaian, kerana beliau ketika itu sedang menjalani tahanan reman oleh PDRM,” katanya.

Amer Hamzah berkata Abdul Azeez telah hadir memberi keterangan lebih 10 kali sebelum ini dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here