MELAKA – Dasar Perumahan Negeri Melaka yang mesra rakyat dan nilai harga tanah yang rendah berjaya mengekalkan harga kediaman di Melaka sebagai paÂling murah di negara ini.
Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk Murad Husin berkata, ia sekali gus menjadikan rakyat di negeri itu termasuk golongan B40 berkemampuan tinggi untuk memiliki rumah sendiri.
Menurut beliau, pencapaian itu berdasarkan Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) yang menunjukkan harga kediaman di Melaka kekal dalam lingkungan mampu milik.
“Kalau dilihat negeri Melaka menawarkan harga termurah dalam Malaysia kalau hendak dibandingkan dengan negeri lain. kalau mengikut laporan NAPIC, Melaka antara negeri yang menawarkan harga termurah. Itu sebabnya sambutan bagi jualan rumah di Melaka sangat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia Gazzette di pejabatnya di Ayer Keroh di sini hari ini.
Menurut Murad, secara purata harga siling bagi semua kategori rumah di Melaka adalah pada paras RM255,913 manakala harga purata bagi rumah teres ialah RM224,223.

Ia berbeza dengan harga purata di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor iaitu masing-masing pada harga RM565,000, RM345,000 dan RM493,010.
Menurutnya, kadar kemampuan perumahan di MeÂlaka juga antara yang terbaik di negara ini dengan nisbah kemampuan sekitar 3.27 berbanÂding purata nasional 4.39.
Keadaan itu jelas beliau, turut menyumbang kepada kadar pemilikan rumah yang tinggi dalam kalangan rakyat Melaka iaitu sebanyak 85.6 peratus berbanding kadar nasional 78 peratus.
Berdasarkan rekod, tambah beliau, golongan belia di bawah umur 40 tahun atau pasangan yang baru berumahtangga menjadi pembeli rumah paling ramai di Melaka
Dengan kemampuan pendapatan yang dimiliki selain harga rumah yang berpatutan, ujarnya, memudahkan golongan berkenaan memiliki rumah sendiri.
“Secara umumnya kebanyakan rumah terutama mampu milik dibeli oleh golongan belia berumur bawah 40 tahun dan ini menunjukkan bahawa projek rumah mampu milik mendapat sambutan yang baik di Melaka,” katanya. – MalaysiaGazzette
















