Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi bercakap ketika sidang media selepas hadir pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO meminta pimpinan parti itu memberikan ruang, peluang, kepercayaan dan tanggungjawab kepada wanita muda untuk memimpin, selaras dengan kedudukan mereka sebagai pemimpin masa depan.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, Puteri tidak meminta ruang hanya kerana mereka masih muda, sebaliknya kerana mereka sudah bersedia memikul amanah dan membuktikan kemampuan.

“Puteri adalah pemimpin masa depan. Kalau benar Puteri adalah masa depan, berikan kami ruang untuk memimpin hari ini. Dengar suara kami, berikan kami peluang, berikan kami kepercayaan, berikan kami tanggungjawab.

“Kami tidak meminta ruang kerana kami muda. Kami meminta ruang kerana kami bersedia untuk memikul amanah dan bersedia untuk membuktikan kemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sempena Persidangan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Menurut Nurul Amal, Puteri perlu membuktikan peranannya di setiap bahagian dan negeri dengan memastikan segala perkara yang diperjuangkan diterjemahkan melalui tindakan serta memberi impak kepada masyarakat.

Katanya, dalam keadaan politik yang menyaksikan “kawan boleh jadi lawan, lawan boleh jadi kawan”, anggota Puteri perlu kekal berpegang kepada perjuangan parti.

“Apa yang kita buat, apa yang kita bina, apa yang kita cakap biarlah melambangkan wajah Puteri UMNO, seorang yang matang, seorang yang bijak, seorang yang boleh membawa suara wanita muda dan seorang yang boleh wanita muda harapkan untuk masa depan negara,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh anggota Puteri supaya pulang ke kawasan masing-masing dengan semangat untuk memperkukuh gerakan dan membantu masyarakat mengikut kemampuan, termasuk ketika berdepan kekangan kewangan.

“Membantu manusia lain pun juga adalah satu solusi kepada Puteri UMNO dan biar orang nampak Puteri UMNO sentiasa berada di dalam masalah masyarakat,” katanya.

Nurul Amal berkata, menjelang 25 tahun akan datang, generasi muda perlu melihat Puteri UMNO hari ini sebagai contoh dalam mempersiapkan kepimpinan dan perjuangan generasi seterusnya.

“Kita semua bukan sekadar pewaris perjuangan. Kita adalah penentu masa depan perjuangan,” katanya. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here