Foto: Ihsan Polis

PUTRAJAYA: Dua lelaki berusia 19 dan 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung video tular dua buah kenderaan yang dipercayai sedang menguji kelajuan di Jambatan Putra, di sini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua individu yang ditangkap masing-masing merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu dan Cina.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua individu berkenaan berada di lokasi tersebut bagi tujuan berkumpul dan menghasilkan kandungan untuk dimuat naik ke media sosial serta bukan bertujuan untuk berlumba.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut turut mendapati pemandu berusia 21 tahun tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan yang dipandunya telah tamat tempoh.

“Kedua-dua pemandu turut dikenakan tindakan saman atas kesalahan mengubah suai kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua pemandu berkenaan negatif dadah.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti menguji kelajuan atau berlumba di jalan awam serta tidak menghasilkan kandungan media sosial yang melibatkan aksi pemanduan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman dua kenderaan dilihat sedang menguji kelajuan kenderaan masing-masing sambil disaksikan beberapa individu lain yang dipercayai di Jambatan Putra di sini, sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here